Monday, 22 October 2012

Kitaran Motivasi Teragung

   Aturan waktu solat itu kelihatan seumpama kitaran proses yang sempurna bagi menyuntik motivasi tanpa henti dari awal permulaan pagi hingga mata terpejam kembali.Bermula seawal waktu subuh di mana manusia diuji jasad dalaman dan luaran untuk bangun bermunajat dan memohon kepada Allah bagi membantu perjalanan kehidupannya sepanjang hari.Inilah motivasi yang akan dibawa daripada sesudah subuh sehingga waktu zohor.

    Cuba renung-renungkan kembali bagaimana kehidupan kita pada hari kita kelewatan untuk mengerjakan solat subuh ? Adakah sama dengan hari sebelumnya yang mana kita sempat bertahajjud dan menunaikan solat sunat fajar malahan mengerjakan solat subuh dengan berjemaah? Pasti terasa suatu kelainan yang teramat dalam permulaan kehidupan selain menjadi lebih bermotivasi dan bersemangat. Bahkan kita akan merasai kehidupan hari itu lebih bermatlamat dan bermanfaat.

    Renungkan sabda nabi ini, daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w bersabda : “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur.Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: “Nikmatilah malam yang panjang ini”.Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan pertama.Apabila dia berwudhuk, maka terlepaslah lilitan yang kedua.Kemudian apabila dia solat, terlepaslah lilitan ketiga,sehingga dia menjadi bersemangat.Tetapi kalau tidak,dia akan terbawa lembap dan malas”.
 (Riwayat al Bukhari dan Muslim, no hadis 1295 )

   Apabila berhadapan dengan konflik pada tempoh itu, kita diseru untuk bertemu Allah pada waktu zuhur.Pada saat itu,kita sudah mula merasai keletihan dalam mengharungi pekerjaan seharian dan waktu itulah kita mengadu dan menyuntik kembali semangat motivasi baru untuk tempoh siang yang berikutnya antara waktu zuhur dan asar.Sesudah berhadapan dengan seribu satu halangan pada siangnya, suntikan motivasi sekali lagi diberikan dalam munajat seterusnya pada waktu maghrib.Lantas, kitaran motivasi terakhir pada hari itu ditutupi dengan solat isya’ yang disusuli lagi dengan solat sunat witir.

    Namun suntikan motivasi itu tidak berakhir di situ, akan terus diulang dan sentiasa berterusan sehingga berpisah nyawa dari jasad.Berdasarkan itu, Allah menggalakkan kita melaksanakan solat-solat sunat berdasar sunnah yang dibawa Rasulullah.Antaranya ialah solat sunat rawatib yang dituntut sebanyak 12 rakaat ditambah lagi dengan solat sunat fajar ,dhuha dan witir untuk menyempurnakan lagi motivasi seharian untuk menjadi seorang individu muslim yang lebih progresif dan produktif.

    Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isya' dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
 (Hadis riwayat Tarmizi r.a.)


‘KITA TIDAK MAMPU MENGUBAH ARAH ANGIN,TETAPI KITA MAMPU MENGUBAH ARAH SAYAP’

1 comment: