Tuesday, 8 October 2013

CINTA HARAMAIN I : SEHARUM RAUDHAH SEINDAH BAITULLAH


  Kehadiran bulan Zulhijjah yang dinantikan oleh setiap umat islam yang terpilih menjadi tetamu jemputan istimewa Allah s.w.t di tanah suci.Pastinya ia memberikan makna yang sangat syahdu dan mengharukan, di saat air mata hanya mampu dibiarkan bergelinangan mensuratkan lafaz syukur buat sebuah kegembiraan.

   Penulisan kali ini adalah sekadar secebis perkongsian kegembiraan menjadi salah seorang insan terpilih dalam jutaan umat untuk menziarahi bumi Raudhah dan melakukan umrah di Tanah Haram. Ia adalah satu pengalaman yang tidak mampu dibeli dan dirakamkan dengan sebarang kata-kata mahupun bentuk penulisan. 

  Terasa amat bersyukur tatkala jemputan ini hadir pada lingkungan usia yang masih dianggap muda. Lebih-lebih lagi peluang ini hadir bersama satu pakej pelengkap iaitu bukan sekadar melakukan ibadah umrah dan ziarah malah mendapat peluang muqabalah di Universiti Islam Madinah untuk permohanan menjadi penuntut disana tahun hadapan. Ia adalah antara salah satu universiti yang terbaik di dunia bukan hanya sekadar sistemnya tetapi persekitaran dan lokasinya yang paling hampir dengan bumi tempat bersemadinya sebuah jasad yang paling agung iaitu Rasulullah s.a.w beserta ketenangan masjid Nabawi yang dihiasi taman syurga Raudhah berlantaikan hamparan karpet hijau lembut menambahkan lagi keterujaan di hati.

  Bermulanya detik indah ini apabila selesai sahaja mengikuti kursus umrah secara express yang asalnya memerlukan 8 modul disingkatkan dan dirangkumkan hanya dalam satu modul lantaran daripada kekangan masa, kerana kami sekeluarga dijadualkan berangkat lebih kurang dua minggu lagidaripada tarikh kursus tersebut.Namun, insyaAllah ia tetap akan menjadi ilmu yang berguna disamping pembacaan sendiri bersama ahli keluarga tentang teori menambahkan lagi ilmu tentang ibadah yang akan dilakukan buat kali pertama ini selain pelengkap kepada persediaan praktikal seusai tiba di Tanah Haram nanti.  

 Pesanan beliau yang paling utama : “Ikhlas dan bersihkan diri sepenuhnya dengan taubat sebelum bertolak ke sana, jika tidak kita akan pulang dengan sia-sia malah rugi yang berganda kerana tujuan kita bukan pada Dia.” 

   Setelah mengharungi perjalanan panjang daripada Kelantan-Terengganu-Kuala Lumpur menggunakan kenderaan sendiri sehari sebelum berlepas, kami sekeluarga berkumpul bersama ahli keluarga besar yang lain di salah sebuah rumah bapa saudara di Shah Alam untuk melakukan persiapan barang terakhir selain memastikan segala kelengkapan mencukupi sebelum bergerak ke lapangan terbang pada malam berikutnya yang mana pesawat kami dijadualkan terbang pada jam 2.00 pagi waktu Malaysia.

    Singgah sebentar di masjid KLIA untuk solat jama’ maghrib dan isya’ beserta solat sunat musafir memohon agar perjalanan ini diberi keselamatan dan dipermudahkan segala urusan di sana nanti insyaAllah.

   Rombongan ahli keluarga yang akan berangkat bersama menunaikan umrah di tanah suci bergambar kenangan di LCCT. Kami diterbangkan dengan kapal terbang Air Asia X yang baru diperkenalkan tahun ini. Untuk pengetahuan pembaca, penerbangan ini juga merupakan pengalaman pertama saya dan keluarga menaiki pesawat di udara walaupun kerap kali ke lapangan terbang menghantar sahabat handai pulang ke kampung halaman setiap kali tibanya cuti semester, namun pengalaman mencuba sendiri berada di dalam perut pesawat masih belum dapat dirasai.Paling mengujakan destinasi kali pertama di luar negara ini adalah tempat yang paling barakah di muka bumi ini sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t melalui firmannya dalam surah al Isra’.


 Alahai! Menangis pulak dia, janganlah sedih kami pergi sekejap je! Nanti kita jumpa lagi ye :) 


Sempat lagi berposing sebelum berlepas!! Kredit untuk cameraman. Sayonara Malaysia  ;D

Sekadar itulah dahulu buat perkenalan kembali setelah lama tidak mencoret di ruang ini. Semoga diberi peluang kembali menyambung bingkisan ini dalam Cinta Haramain II nanti yang pastinya menceritakan keseronokan pengembaraan disana.

No comments:

Post a Comment