Sunday, 13 October 2013

CINTA HARAMAIN II : KEDAMAIAN KOTA MADINAH


 Alhamdulilah, masih diberi peluang dan ruang oleh Ilahi di ruangan sunyi tetapi bernadi ini untuk menukilkan sambungan rentetan daripada catatan ringkas kisah cinta terhadap bumi Haramain yang sangat barakah lagi mendamaikan.

 Perjalanan daripada Kuala Lumpur menuju ke ibu negara Arab Saudi, Jeddah memakan masa lebih kurang 8 hingga 9 jam tanpa transit untuk sampai di lapangan terbang King Abdul Aziz. Sebelum terlupa, kami sekeluarga seramai 14 orang menggunakam perkhidmatan umrah daripada agensi Zuhdi Travel bersama seorang  mutawwif  yang sempoi lagi bergaya bernama Ustaz Majedi.



 Inilah permulaan mentari pagi di Arab Saudi yang mula menyinarkan diri, jika dilihat daripada pandangan atas pesawat ini, anda akan menyaksikan kota Arab ini boleh diumpamakan seperti permainan lego kerana setiap persekitaran perumahan dan bangunan disusun dengan pelbagai bentuk dalam bentuk berkotak-kotak.



 Alhamdulilah! Kami selamat mendarat dan tiba di lapangan terbang King Abdul Aziz sekitar jam 7 pagi waktu tempatan iaitu satu jam lebih awal daripada jangkaan awal pendaratan kerana dimaklumkan oleh ketua pramugara bahawa cuaca di persekitaran ruangan udara berada dalam situasi yang baik sepanjang menuju ke sini membolehkan pesawat serba merah itu diterbangkan dengan lebih laju dan lancar.

 Di sebalik kesenangan yang diberikan, ujian Allah itu tetap sentiasa ada buat menguji keikhlasan dan kesabaran hambanya kerana rombongan kami terpaksa menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan bas bagi menuju ke kota Madinah Al Munawwarah yang dirasakan kian menyeru hati sambil meransang diri untuk tiba disana lebih awal lagi.Ditambah lagi dengan perubahan cuaca musim panas di Timur Tengah turut memberikan sedikit kesan pada tubuh  dalam permulaan pengembaraan sufi ini namun dek keghairahan yang dirasakan, masalah itu seolah diabaikan oleh semua ahli rombongan.Perjalanan daripada Jeddah ke Madinah seumpama perjalanan daripada Kelantan ke Kuala Lumpur iaitu memakan masa 7 hingga 8 jam dengan menaiki bas.

 Sepanjang perjalanan, kami sentiasa diberi peringatan oleh mutawwif agar tidak lupa untuk sentiasa berzikir dan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w selain daripada celoteh dan penerangan yang mencuit hati membuatkan bas kami menjadi gamat seketika dengan hilai tawa memecah kesunyian yang secara tidak langsung menimbulkan kemesraan antara ahli rombongan.Tiada pemandangan yang terlalu menarik untuk disaksikan di sisi jalan melainkan unta-unta peliharaan, perhentian rehat dan juga stesyen minyak yang sukar untuk ditafsirkan tahap keuzurannya kerana jika dilihat sekali pandang ia kelihatan seperti tidak terurus dan beroperasi.


 Inilah destinasi R&R yang menjadi pilihan pemandu bas kami untuk berhenti berehat seketika di lengkapkan dengan menunaikan solat jama’ taqdim zuhur dan asar sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah yang dikatakan memakan masa 3 jam lagi untuk sampai.

 Sukar sekali untuk melelapkan mata walaupun badan yang keletihan merayu untuk direhatkan lantaran daripada sebuah keterujaan. Terasa seolah-olah satu kerugian besar untuk melepaskan setiap detik- detik indah perjalanan menuju ke kota Nabi ini. Debaran di hati kian memuncak saat diumumkan oleh mutawwif bahawa kami semakin hampir memasuki Tanah Haram Madinah yang ditanda dengan penanda- penanda di puncak bukit,  fikiran sudah mula membayangkan bagaimana agaknya rupa bentuk masjid Nabawi yang sebenar apabila bertentang di hadapan mata sendiri nanti, disamping doa yang tidak putus kehadrat Ilahi agar diizin dan dipilih sebagai pengunjung kepada kota Rasul-Nya ini.

 Permulaan memasuki kota madinah ini bas kami menyusuri sebuah kawasan yang dinamakan Bir Ali yang mana ia merupakan tempat miqat iaitu berniat bagi mereka yang akan keluar daripada kota Madinah menuju ke kota Makkah untuk menunaikan ibadah umrah mahupun haji.Kemudian, perjalanan memasuki kota Madinah diteruskan lagi dengan menyusuri sekitar jalan-jalan yang tersusun sepanjang menuju ke tempat penginapan kami. Akhirnya, ketika azan asar hampir berkumandang di seluruh bumi Nabawi yang permai ini, kami tiba di tempat penginapan setelah melewati Masjid Nabawi hanya sekitar 150 meter sahaja di hadapan dan sepanjang itu kami satu rombongan sama-sama melaungkan selawat dan nasyid yang pernah dinasyidkan penduduk Yathrib ketika menyambut Rasulullah s.a.w di samping bertahmid memuji Ilahi menzahirkan sebuah kesyukuran.

 Juraian sebak air mata  yang mengalir dibiarkan jatuh menitis tanpa diseka, bergelinangan membasahi jubah yang dipakai kerana perasaan terharu yang teramat  sukar untuk digambarkan di saat mata ini dapat melihat dan menatap sendiri kubah hijau dan menara-menara yang berdiri megah kepunyaan Masjid Nabawi yang mana didalamnya terdapat Raudhah iaitu taman syurga gambaran dunia selain bersemadinya jasad insan yang paling dikasihi Allah s.w.t dan seluruh makhluk di alam ini iatu Rasulullah s.a.w. Ia bukan suatu perasaan yang dipaksa namun nun jauh didasar hati ia sememangnya perasaan yang sangat menggugah jiwa seorang lelaki hina dengan noda ini.Fikiran waras ini seolah masih belum mampu mentafsir rasa percaya akan pemandangan yang dilalui sekilas tadi, walaupun hati seolah-olah kian merintih dan mula mendesak tubuh untuk menggerakkan kaki melangkah pergi menuju ke dalamnya.Namun,kami dinasihatkan oleh mutawwif berpengalaman agar berehat seketika dahulu di dalam bilik hotel disamping membersihkan diri sebelum memulakan langkahan pertama menuju ke ke Masjid Nabawi dan sekitarnya agar mendapat kekuatan baru untuk beribadah didalamnya nanti.Barulah saya perasan bahawasanya kami tidak sempat membersihkan diri hampir semalaman bermula daripada penerbangan dari Malaysia sehinggalah tiba di kota Madinah ini.Jadi apa yang dinasihatkan itu memang ada benarnya.

 Setelah selesaikan melakukan segala keperluan yang patut disamping kesempatan melelapkan mata seketika sambil dihiasi dengan gambaran tidur yang mengagumkan membuatkan tubuh kembali cergas dan bugar. Sementara itu, kaki juga seolah semakin tidak sabar untuk dilangkahkan keluar daripada hotel penginapan menuju ke masjid Nabawi.Buat permulaan, saya menuju ke masjid Nabawi  bersama dengan ayah dan dua orang ibu saudara yang memimpin nenek menaiki wheelchair kerana tidak mahu terpisah dan bimbang jika tidak menemui jalan untuk pulang ke hotel.Bagaimanapun kami telah dinasihatkan untuk menyimpan kad perkhidmatan hotel agar ada individu yang dapat membantu sekiranya tersesat nanti. Pada hari-hari seterusnya saya hanya bersendirian di sekitar kawasan masjid Nabawi kerana lebih selesa sebegitu tanpa sebarang gangguan malah tidak terikat dengan sesiapa dalam melakukan aktiviti selain dapat menumpukan ibadah yang ingin dilaksanakan dengan lebih fokus.Kami sekeluarga hanya berjumpa pada waktu makan atau di dalam bilik hotel sahaja selepas itu dan kadang-kadang terserempak di dalam perjalanan pulang daripada masjid.

 Melintasi dua jalan utama menuju ke masjid, saya sudah mula mampu melihat pintu gerbang masjid yang berdiri kukuh yang mana didalamnya tersergam indah sebuah binaan agung. Di hadapan pintu pagar masjid itu menjadi pusat perniagaan yang kebanyakan di monopoli kaum wanita berbanding lelaki.Kebanyakan mereka berpakaian jubah serba hitam sambil melitup muka dan menjual pakaian seperti jubah,selendang dan sebagainya. Apa yang lebih menarik premis mereka akan ditutup setiap kali berkumandang azan sehingga seusai solat berjemaah.

 Di saat kaki menapak buat pertama kali memasuki ruangan dataran masjid, hati ini mula diresapi oleh suatu ketenangan yang mendamaikan. Malam pertama ketika kami tiba itu ialah hari isnin yang mana menjadi suatu kewajipan di masjid Nabawi mengadakan majlis iftar jamaie untuk mereka yang berpuasa sunat.Biasanya makanan ini akan disusun mengikut setiap barisan tiang dan setiap tiang ada tuannya dan mereka akan menderma untuk menjamu setiap orang yang duduk untuk berbuka puasa di tiang mereka pada setiap hari isnin dan khamis. Rezeki saya pada malam itu ialah beberapa biji rutab bersama air teh arab yang diserikan lagi dengan roti arab yang dicicah dengan bijan yang saya sendiri tidak tahu apa namanya tetapi sangat sedap bila ia mula dikunyah dan ditelan. Ini baru makanan kelas ekonomi, jika anda mahukan makanan first class pastikan anda berada di ruangan solat yang berhampiran kawasan Raudhah ketika waktu maghrib kerana kebanyakan di sana tempat berbuka golongan elit daripada bangsa arabdan mereka yang akan menjamu dan menyediakan makanan disana. Selesai sahaja berbuka puasa secara bersederhana, semuanya akan bangun untuk menunaikan solat maghrib dan itulah juga solat jemaah pertama yang saya dirikan di dalam masjid Nabawi.Sangat mengharukan ditambah lagi dengan kelunakan suara imam yang seolah membuai.



 Inilah keindahan suasana malam di dataran masjid Nabawi yang diimarahkan oleh jutaan umat yang hadir ke bumi Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w. Di kawasan ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti tandas dan tempat berwudhuk yang menggunakan eskulator selain tempat untuk meneguk air zam zam secara percuma tanpa pernah kering dan putus.

  Perancangan saya pada malam itu adalah pulang awal selepas isya’ ke bilik hotel untuk menyantap makanan selain daripada merehatkan diri dengan lebih awal untuk melaksanakan dua impian penting pada keesokan pagi iaitu dapat sujud di atas karpet hijau Raudhah yang berhampiran dengan mimbar Rasulullah selain daripada membuat sedikit persiapan menjelang sesi temuduga di Universiti Islam Madinah keesokan hari.Namun, saya teringat akan pesanan mutawwif petang tadi bahawa dia akan membawa kami serombongan untuk melawati sekitar masjid Nabawi selain melawat makam Rasulullah untuk menyampaikan salam pada malamnya nanti membuatkan saya segera menukar idea asal dan segera berlari tke masjid agar sempat dengan sesi penerangannya selain tidak membuatkan ahli rombongan lain tertunggu-tunggu kerana kelewatan.Mengelilingi masjid Nabawi daripada Babus Salam sehingga ke Babul Baqi’ daripada luar agak memenatkan sebenarnya, namun ia suatu pengalaman yang sangat manis untuk dikongsikan bersama.

 Jam dua pagi, ayah mengejutkan saya untuk misi memasuki Raudhah buat kali pertama. Keterujaan dan pengharapan menghapuskan segala keletihan. Keaadan yang masih lengang di persekitaran luar kawasan masjid Nabawi membuatkan kami berhati-hati sepanjang berjalan menuju ke sana.Alhamdulilah! Impian kami terlaksana setelah diizinkan oleh Allah s.w.t  untuk bersolat di ruangan taman syurga ini sepuas yang mungkin kerana belum dibanjiri oleh tetamu Rasulullah yang lain.Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan ibadah tanpa gangguan mahupun sekatan daripada pihak polis yang mengawasi.

 Keesokan paginya bermulalah debaran kedua iaitu untuk sesi temuduga. Persediaan akhir yang sedikit tegendala ekoran daripada kekangan masa membuatkan diri ini hanya mampu berdoa mengharapkan pertolongan Ilahi selepas usaha awal di tanah air sudah pun dilaksana. Setelah berjanji dengan seorang ustaz yang kini menyambung masternya di UIM bahawa dia akan menghantar anak buahnya menemui saya dan ayah di hotel penginapan dan akan terus membawa kami ke universiti. Kami menunggu di lobi hotel sekitar jam 7 manakala rombongan yang lain dibawa untuk memasuki Raudhah pada pagi itu, walaupun belum pasti siapakah gerangan insan yang bakal membantu kami ini, namun hati kami tetap mencorak gembira dalam tenang walaupun terkadang dalam diam bertukar resah. Sebenarnya saya ingin meminta pertolongan sahabat-sahabat senior dahulu yang kini menuntut  di Universiti Islam Madinah dan  bilangan mereka juga agak ramai, namun setelah mendapat tahu bahawa mereka sedang berada di dalam minggu imtihan jadi saya mengambil keputusan itu tidak menganggu dan cuba belajar untuk berdikari dengan usaha sendiri walapun tahu kemungkinan berhadapan masalah nanti.Biarlah keyakinan ini disandarkan terus pada IIahi daripada selalu untuk cuba mengharapkan bantuan yang disalurkan daripada rakan-rakan sendiri.Sebab itu saya merahsiakan terlebih dahulu ketibaan saya di sini daripada mereka melainkan kepada beberapa sahabat yang rapat.

 Tanpa disangka, insan yang ditunggu-tunggu itu adalah sahabat  yang sudah lama dikenali iaitu senior di waktu persekolahan menengah dahulu. Bagaikan sebuah kasih yang kembali tertaut disusuli dengan tambatan ukhuwah yang menyimpul hati membuatkan kami senang untuk berbicara dan berurusan.Kami kemudian di bawa menaiki kereta berjenama Hyundai menuju ke sana. Kemudian, apabila tiba disana, kami dijemput dan diraikan oleh sahabat-sahabat senior yang lain di bilik asrama mereka dengan cara bersahaja tetapi bermakna.Selain itu, mereka juga memberikan tips dan sedikit nota yang berguna selain kata-kata taujihat dalam menghadapi proses temuduga itu nanti.



 Sempat merakamkan gambar kenangan di bilik menunggu bersama dua sahabat yang sangat disegani walaupun masih diracuni debar. Saya perkenalkan disebelah kanan saya ialah Syeikh Asyraf Mohd Naim yang pernah menjawat jawatan Pengerusi Masjid ketika belajar di MTAQ dahulu dan di sebelah kiri ialah Syeikh Haris Syazwan yang merupakan johan hafazan peringkat kebangsaan untuk kategori 20 juzu’ dan pernah beberapa mewakili Malaysia pada pertandingan hafazan antarabangsa selain itu juga pernah dianugerahkan pelajar cemerlang SMU oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK).

 Alhamdulilah, segalanya berjalan dengan lancar walaupun pada permulaan saya ditegur oleh Syeikh yang menjadi penemuduga kerana cara saya menghormatinya dengan mencium tangan beliau.Katanya manusia tidak layak untuk tunduk kepada manusia lain sedemikian rupa, cukuplah kepada Allah sahaja kita menundukkan wajah kita bukan pada ciptaannya. Satu perkara membuatkan saya bersyukur ialah kemampuan untuk memahami dengan jelas setiap soalan yang diajukan dalam bahasa arab selain dapat menjawab dengan agak fasih walaupun dalam gementar.Terima kasih Ya Allah! Semoga dipermudahkan segala urusan dan dipilih menjadi salah seorang daripada penuntut di bumi yang penuh barakah dan mendamaikan ini.




Masih terlalu panjang untuk merakamkan kisah untuk dua hari lagi di bumi Nabawi ini. Saya mohon untuk meminta diri dahulu.InsyaAllah jika diberi peluang oleh Ilahi saya akan terus mencoret lagi untuk berkongsi pengalaman suka dan duka ini. Semoga ada kebaikan yang tersurat atau tersirat yang boleh diambil melalui pandangan yang berbeza daripada setiap pembaca selain menjadi pengubat dan pengukir rindu kepada saya dan sahabat-sahabat terhadap bumi Haramain.













Tuesday, 8 October 2013

CINTA HARAMAIN I : SEHARUM RAUDHAH SEINDAH BAITULLAH


  Kehadiran bulan Zulhijjah yang dinantikan oleh setiap umat islam yang terpilih menjadi tetamu jemputan istimewa Allah s.w.t di tanah suci.Pastinya ia memberikan makna yang sangat syahdu dan mengharukan, di saat air mata hanya mampu dibiarkan bergelinangan mensuratkan lafaz syukur buat sebuah kegembiraan.

   Penulisan kali ini adalah sekadar secebis perkongsian kegembiraan menjadi salah seorang insan terpilih dalam jutaan umat untuk menziarahi bumi Raudhah dan melakukan umrah di Tanah Haram. Ia adalah satu pengalaman yang tidak mampu dibeli dan dirakamkan dengan sebarang kata-kata mahupun bentuk penulisan. 

  Terasa amat bersyukur tatkala jemputan ini hadir pada lingkungan usia yang masih dianggap muda. Lebih-lebih lagi peluang ini hadir bersama satu pakej pelengkap iaitu bukan sekadar melakukan ibadah umrah dan ziarah malah mendapat peluang muqabalah di Universiti Islam Madinah untuk permohanan menjadi penuntut disana tahun hadapan. Ia adalah antara salah satu universiti yang terbaik di dunia bukan hanya sekadar sistemnya tetapi persekitaran dan lokasinya yang paling hampir dengan bumi tempat bersemadinya sebuah jasad yang paling agung iaitu Rasulullah s.a.w beserta ketenangan masjid Nabawi yang dihiasi taman syurga Raudhah berlantaikan hamparan karpet hijau lembut menambahkan lagi keterujaan di hati.

  Bermulanya detik indah ini apabila selesai sahaja mengikuti kursus umrah secara express yang asalnya memerlukan 8 modul disingkatkan dan dirangkumkan hanya dalam satu modul lantaran daripada kekangan masa, kerana kami sekeluarga dijadualkan berangkat lebih kurang dua minggu lagidaripada tarikh kursus tersebut.Namun, insyaAllah ia tetap akan menjadi ilmu yang berguna disamping pembacaan sendiri bersama ahli keluarga tentang teori menambahkan lagi ilmu tentang ibadah yang akan dilakukan buat kali pertama ini selain pelengkap kepada persediaan praktikal seusai tiba di Tanah Haram nanti.  

 Pesanan beliau yang paling utama : “Ikhlas dan bersihkan diri sepenuhnya dengan taubat sebelum bertolak ke sana, jika tidak kita akan pulang dengan sia-sia malah rugi yang berganda kerana tujuan kita bukan pada Dia.” 

   Setelah mengharungi perjalanan panjang daripada Kelantan-Terengganu-Kuala Lumpur menggunakan kenderaan sendiri sehari sebelum berlepas, kami sekeluarga berkumpul bersama ahli keluarga besar yang lain di salah sebuah rumah bapa saudara di Shah Alam untuk melakukan persiapan barang terakhir selain memastikan segala kelengkapan mencukupi sebelum bergerak ke lapangan terbang pada malam berikutnya yang mana pesawat kami dijadualkan terbang pada jam 2.00 pagi waktu Malaysia.

    Singgah sebentar di masjid KLIA untuk solat jama’ maghrib dan isya’ beserta solat sunat musafir memohon agar perjalanan ini diberi keselamatan dan dipermudahkan segala urusan di sana nanti insyaAllah.

   Rombongan ahli keluarga yang akan berangkat bersama menunaikan umrah di tanah suci bergambar kenangan di LCCT. Kami diterbangkan dengan kapal terbang Air Asia X yang baru diperkenalkan tahun ini. Untuk pengetahuan pembaca, penerbangan ini juga merupakan pengalaman pertama saya dan keluarga menaiki pesawat di udara walaupun kerap kali ke lapangan terbang menghantar sahabat handai pulang ke kampung halaman setiap kali tibanya cuti semester, namun pengalaman mencuba sendiri berada di dalam perut pesawat masih belum dapat dirasai.Paling mengujakan destinasi kali pertama di luar negara ini adalah tempat yang paling barakah di muka bumi ini sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t melalui firmannya dalam surah al Isra’.


 Alahai! Menangis pulak dia, janganlah sedih kami pergi sekejap je! Nanti kita jumpa lagi ye :) 


Sempat lagi berposing sebelum berlepas!! Kredit untuk cameraman. Sayonara Malaysia  ;D

Sekadar itulah dahulu buat perkenalan kembali setelah lama tidak mencoret di ruang ini. Semoga diberi peluang kembali menyambung bingkisan ini dalam Cinta Haramain II nanti yang pastinya menceritakan keseronokan pengembaraan disana.