Monday, 12 November 2012

Promo LCI : Warkah Amsyar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

   Tangan ini mula menulis apa yang telah dirangkai oleh hati ini di dalam kalbu. Ku mulai tertanya-tanya adakah ku sudah seharusnya mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai dengan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya untuk disempurnakan.Acap kali ku mendengar ungkapan “ Kau tercipta untukku”. Ku awalnya kurang mengerti kalimah ini kerana diselubungi jahiliah. Rahmat dan hidayah Allah s.w.t yang diberikan kepada diriku, kini ku mengerti bahawa pada suatu hari nanti, ku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku buat ‘dirimu’. Ku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu. Ku menginginkan pertemuan kita yang pertama ku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Ku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggunjawab yang harus ku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Ku cuba membataskan perbicaraan ku dengan gadis lain hanya dalam lingkungan urusan penting kerana ku risau ku menceritakan rahsia diriku pada dirinya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

     Apabila diriku memakai kopiah, ku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, ku digelar syeikh. Taktala lidahku mengajak manusia ke arah makruf ku digelar daei’. Bukan itu yang ku pinta kerana  ku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Ku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perwatakanku. Baik yang indah berjubah dan berhijab atau yang ketat ber t-shirt semuanya singgah disisiku. Ku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan daripada fitnah ini. Rasulullah s.a.w pernah meninggalkan pesanan, “ Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita”. Ku khuatir amalanku bukan sepenuhnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Ku memerlukan dirimu untuk menghidari fitnah ini. Ku sangat khuatir kurangnya ikhlasku dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Ku rasa bersalah kepada dirimu sekiranya cinta yang berhak menjadi milikmu akan ku curahkan kepada wanita lain. Ku sukar mencari dirimu kerana dirimu bagaikan sebuah permata bernilai yang berkilau di antara jutaan kaca yang sekadar menyilau. Tetapi ku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya cinta itu akan Allah tanam di dalam lubuk hati kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku terlebih dahulu. Sukar untuk ku mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan kesolehan mu. Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu. “ Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya”.

    Jiwa remajaku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran dirimu amat terasa untuk berada disisi. Setiap kali ku merasakannya, ku cuba mengenang dirimu, namun ku masih belum mampu mengambarkan siapa dirimu. Di sana engkau setia menunggu ku tetapi disini ku curang padamu seandainya ku bermain dengan cinta fatamorgana yang penuh dusta yang bakal membuahkan derita. Sampaikan doa mu kepada diriku agar ku dapat menahan gelora ujian yang membadai buatku, di samping ku mengajukan sendiri doa agar diperlindungi diri. Bukan harta, rupa atau keturunan yang ku utamakan dalam memandang dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih diantara kita. Saat dimana ku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar tercipta keserasian di antara kita kerana itulah pesanan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah merekah bak delima tetapi cukuplah akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi. “ Kahwinilah wanita kerana empat perkara iaitu keturunan, harta, rupa dan agamanya. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal”.

    Jika ku dipertemukan dengan dirimu suatu hari nanti, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum tiba masanya. Akan ku jadikan syara’ itu sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu agar waktu itu syaitan hanya mampu menangis mengangkat bendera putih. Biarlah kita mengikut nenek moyang kita, Adam dan Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang bukan sahaja mendapat kerahmatan tetapi juga menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan ku agar diriku ini tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencarimu kerana ku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.







PROMO NOVEL LAKARAN CINTA ILAHI ( WARKAH AMSYAR)



Gratisan Musik

Sunday, 4 November 2012

Taubat Itu Penawar


   Pahala adalah suatu ganjaran untuk memberi dorongan bagi memotivasikan diri kita untuk terus bergerak menuju kecemerlangan dunia bagi meraih kejayaan di akhirat.Manakala dosa yang dilakukan samada kepada Allah s.w.t ataupun sesama makhluk akan memberi impak yang negatif dan menyebabkan motivasi seseorang itu akan terus menurun.

   Lihat analogi ringkas ini. Seorang pekerja yang sentiasa mematuhi undang-undang syarikat ataupun majikan, akan lebih bermotivasi berbanding pekerja yang sering melanggar undang-undang. Bagaimana? Pekerja yang taat tadi tentu lebih disenangi oleh semua pihak, tiada keresahan di jiwa, tiada perasaan bagi melarikan diri dan menyembunyikan kesalahan daripada sesiapa.Maka, sudah pasti dia lebih bermotivasi dan bersemangat untuk meningkatkan prestasi dalam pekerjaan.

   Manakala pekerja yang sering melanggar undang-undang akan sentiasa memiliki perasaan bersalah, keresahan pastinya menyelubungi jiwa kerana bimbang sekiranya kesalahannya diketahui, bahkan sentiasa dihantui dengan kesalahannya.Dia juga berusaha menyembunyikan kesalahannya dari persekitaran sehingga menyebabkan banyak urusannya dengan sesama manusia menjadi tergendala kerana bersikap seolah-olah mengasingkan diri.Itu adalah dosa atau kesalahan yang membantutkan motivasi selain meruntuhkan prestasi, merosakkan dorongan dan mematahkan keinginan.

   Bayangkan keadaan seorang pekerja yang sering melanggar peraturan kerja tadi apabila bertemu dengan majikannya lalu mengakui serta menginsafi kesalahannya? Sekiranya majikan itu memaafkannya dan memberikannya satu lagi peluang untuk menebus kesalahan itu.Apa perasaan si pesalah? Tentu perasaan bersalah yang sebelum ini bersarang di jiwa akan hilang serta merta.Maka timbullah dalam dirinya rasa ketenangan yang sukar untuk digambarkan serta secara tidak langsung menjana semula semangat motivasi bekerja yang baru bagi menyumbang sesuatu kebaikan untuk dirinya. Itulah kehebatan dalam bertaubat dengan setiap kesalahan.Taubat adalah pintu kepada pembakar semangat dan motivasi diri.

   Ayuh renungi satu ayat yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Ali Imran pada ayat 135.
“ Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji ataupun menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon keampunan atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”


   Taubat dan istighfar akan mendatangkan kesan motivasi dalam kehidupan . Ia menyuburkan semangat emosi untuk menggerakkan jasmani bagi meneruskan kehidupan yang bermatlamat. Kesilapan dosa hasil daripada perbuatan keji yang dilakukan pada masa silam, yang secara tidak langsung menganiaya diri sendiri adalah ranjau kehidupan yang menjadi pembunuh untuk mendapat motivasi. Dalam surah az Zumar pada ayat 53, Allah menerangkan :

“ Katakan wahai hamba-Ku yang melampaui batas kepada diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya, sesungguhnya Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
  
   Taubat dan istighfar adalah terapi yang paling mujarab bagi memulihkan motivasi diri. Terapi ini umpama ubat penyembuh luka. Wahai orang yang berdosa, pembuat kesalahan, kita jauh daripada Allah. Kita sedang menuju kepada semangat dan motivasi. Ini adalah kerana taubat masih terbuka dan pintu kecemerlangan masih terbuka luas di hadapan kita. Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya pada malam hari bagi menerima taubat pelaku Nya pada pelaku kejahatan di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menunggu taubat orang yang melakukan kesalahan di malam hari. Pintu taubat sentiasa terbuka sebelum matahari terbit dari sebelah barat. Semoga Allah menjadikan kita orang yang bertaubat dan sentiasa bermotivasi. Renungkan kata-kata nabi ini.

Daripada Abu Hurairah, dia berkata, “ Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, “ Demi Allah saya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dalam sehari semalam lebih daripada 70 kali”
( Sahih Bukhari, no hadis : 6307)

   Oleh itu, buatlah pengakuan dosa-dosa kita kepada Allah. Sesungguhnya orang yang bertaubat dan mengakui kesalahannya lebih layak beroleh kemaafan dan keampunan.