Sunday, 28 October 2012

Bongkar Rahsia Kalam Suci

   Kadang-kadang kita lebih suka mencari sumber rujukan lain untuk mencari motivasi tanpa kita menyedari akan hadirnya al Quran yang memotivasikan kita jika diamalkan dalam seharian. Sedarkah kita al Quran itu adalah kitab motivasi yang paling berkesan? Percayakah kita sekiranya dikatakan al Quran itu penuh dengan 1001 bahan motivasi? Tahukah kita, sebenarnya al Quran memberikan lebih suntikan aura kepada semua motivator yang ada di dunia? Kita seharusnya mempercayai bahawa manusia yang membaca al Quran akan mendapat sumber kekuatan motivasi yang menakjubkan.Itu semua adalah benar. Kebenarannya terbukti sebagaimana benarnya al Quran. Allah s.w.t menurunkan kalamNya itu untuk kekasihnya dan insan yang paling agung dalam sejarah peradaban manusia iaitu Muhammad bin Abdullah.Rasulullah s.a.w merupakan manusia seperti kita. Seluruh kehidupan baginda adalah sama.Tiada apa yang membezakan nabi dengan manusia lain.

  Lihatlah kembali apa yang difirmankan Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 110 “ Katakanlah wahai Muhammad, Sesungguhnya aku hanya manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku yang Tuhan kamu hanya Tuhan yang Satu. Oleh itu, orang yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,dia perihal mengerjakan amal yang soleh dan jangan dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” Persoalannya dari manakah Rasulullah mendapat sumber kekuatan motivasi bagi meneruskan misi serta visi baginda? Sekalipun baginda diuji dari segenap sudut perjuangan dalam kehidupannya.Jawapan bagi persoalan di atas itu hanyalah satu iaitu al Quran yang mengandungi risalah–risalah motivasi daripada ‘motivatornya’ iaitu Allah s.w.t.
   Dalam surah at Taubah ayat 111 Allah menyatakan: “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka bayaran syurga. Ini kerana disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah lantas ada diantara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Balasan syurga ini adalah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam kitab Taurat dan Injil serta al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu,dan ketahuilah, jual beli seperti itu adalah kemenangan yang besar.”
 
   Ayat itu umpama minyak yang terus memberikan harapan kepada kenderaan bergerak dan terus bergerak.Ayat itu adalah motivasi yang menyuburkan jiwa Rasulullah bagi terus menggerakkan misi nabawinya.Sebagaimana dalam catatan-catatan sirah jelas menunjukkan bahawa Rasulullah sentiasa diuji dengan ujian yang cukup hebat daripada permulaan kerasulan sehingga ke akhir hayat baginda.Namun, adakah selepas kesemua ujian ini dilalui, Rasulullah meninggalkan kesemua dakwahnya? Jawapannya pasti tidak. Motivasi yang dihasilkan oleh al Quran mampu membentuk jiwa Rasulullah menjadi jauh lebih kuat daripada besi yang keras.

    Ayuh kita renungi ayat dalam surah az Zukhruf daripada ayat 72 hingga 75, “ Dan itu adalah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang kamu lakukan terdahulu. Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan, sesungguhnya orang yang berdosa kekal di dalam neraka Jahannam, tidak diringankan azab itu untuk mereka dan mereka di dalamnya berputus asa.”

    Dengan hanya satu ayat di atas, ia sudah mampu meniupkan semangat motivasi kepada diri orang Mukmin yang benar-benar memahami dan mendalami.Tidakkah begitu? Apatah lagi membaca ribuannya ayat-Nya. Membacanya sahaja sudah mampu menghilangkan resah dijiwa apatah lagi jika menghayatinya, pastinya ia menghasilkan momentum motivasi yang begitu memuncak dan ampuh.Lantas ia mampu menggerakkan jiwa yang lumpuh ke arah keyakinan kepada janji-janji Allah dan meneruskan kehidupan dengan menongkah apa sahaja rintangan yang mendatang dalam kehidupan transit ini.

 INDAHNYA JIKA ALUNAN BACAAN ITU DISULAMI DENGAN KEFAHAMAN

Monday, 22 October 2012

Kitaran Motivasi Teragung

   Aturan waktu solat itu kelihatan seumpama kitaran proses yang sempurna bagi menyuntik motivasi tanpa henti dari awal permulaan pagi hingga mata terpejam kembali.Bermula seawal waktu subuh di mana manusia diuji jasad dalaman dan luaran untuk bangun bermunajat dan memohon kepada Allah bagi membantu perjalanan kehidupannya sepanjang hari.Inilah motivasi yang akan dibawa daripada sesudah subuh sehingga waktu zohor.

    Cuba renung-renungkan kembali bagaimana kehidupan kita pada hari kita kelewatan untuk mengerjakan solat subuh ? Adakah sama dengan hari sebelumnya yang mana kita sempat bertahajjud dan menunaikan solat sunat fajar malahan mengerjakan solat subuh dengan berjemaah? Pasti terasa suatu kelainan yang teramat dalam permulaan kehidupan selain menjadi lebih bermotivasi dan bersemangat. Bahkan kita akan merasai kehidupan hari itu lebih bermatlamat dan bermanfaat.

    Renungkan sabda nabi ini, daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w bersabda : “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur.Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: “Nikmatilah malam yang panjang ini”.Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan pertama.Apabila dia berwudhuk, maka terlepaslah lilitan yang kedua.Kemudian apabila dia solat, terlepaslah lilitan ketiga,sehingga dia menjadi bersemangat.Tetapi kalau tidak,dia akan terbawa lembap dan malas”.
 (Riwayat al Bukhari dan Muslim, no hadis 1295 )

   Apabila berhadapan dengan konflik pada tempoh itu, kita diseru untuk bertemu Allah pada waktu zuhur.Pada saat itu,kita sudah mula merasai keletihan dalam mengharungi pekerjaan seharian dan waktu itulah kita mengadu dan menyuntik kembali semangat motivasi baru untuk tempoh siang yang berikutnya antara waktu zuhur dan asar.Sesudah berhadapan dengan seribu satu halangan pada siangnya, suntikan motivasi sekali lagi diberikan dalam munajat seterusnya pada waktu maghrib.Lantas, kitaran motivasi terakhir pada hari itu ditutupi dengan solat isya’ yang disusuli lagi dengan solat sunat witir.

    Namun suntikan motivasi itu tidak berakhir di situ, akan terus diulang dan sentiasa berterusan sehingga berpisah nyawa dari jasad.Berdasarkan itu, Allah menggalakkan kita melaksanakan solat-solat sunat berdasar sunnah yang dibawa Rasulullah.Antaranya ialah solat sunat rawatib yang dituntut sebanyak 12 rakaat ditambah lagi dengan solat sunat fajar ,dhuha dan witir untuk menyempurnakan lagi motivasi seharian untuk menjadi seorang individu muslim yang lebih progresif dan produktif.

    Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isya' dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
 (Hadis riwayat Tarmizi r.a.)


‘KITA TIDAK MAMPU MENGUBAH ARAH ANGIN,TETAPI KITA MAMPU MENGUBAH ARAH SAYAP’

Tuesday, 16 October 2012

Fikirlah:Biarpun Sesaat


   Suatu hari seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Miqdad Ibnu al Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah,lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad, “ Aku mendengar Nabi Muhammad memberitahu kepada ku,sesiapa yang berfikir satu saat maka itu lebih baik daripada beribadat setahun.

   Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad, “ Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku ,sesiapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat 70 tahun”

   Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi,kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza.Lantas beliau mengadukan perkara itu kepada Rasulullah.

    Baginda mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas supaya berjumpa dengannya,baginda bertanya kepada Abu Hurairah, “Bagaimana cara engkau berfikir?” Abu Hurairah menjawab, “Aku memikirkan kejadian tujuh petala langit dan bumi agar ia mendatangkan rasa agung kepada Allah dalam diri.”

   Nabi Muhammad menjawab “Benar,engkau berfikir sesaat lebih baik daripada setahun.Baginda menjelaskan lagi, “Al-Quran turun kepadaku, rugilah kepada mereka yang membaca al-Quran tetapi tidak memikirkannya.”

   Lalu, Rasulullah bertanya pula kepada Ibnu Abbas,beliau menjawab, “Aku memikirkan berkenaan kematian dan huru haranya pada saat itu.” Lantas,Rasulullah menjawab, “Benar,berfikir begitu ,engkau dapat kelebihan sesaat berfikir lebih baik daripada beribadat 70 tahun”


   Sememangnya kita digalakkan berfikir perihal kejadian alam ini,kerana ia dapat mendatangkan rasa keagungan dan ketakjuban kepada Allah sebagaimana yang dilakukan oleh rasul-rasul terdahulu.Tetapi adakah kita pernah terfikir, mengapa berfikir mengenai mati dan penghijrahan kita ke alam barzakh menyebabkan ibadat kita diangkat.Ayuh kita menjawab persoalan ini, apabila kita berfikir mengenai mati walaupun sejenak,kita akan sentiasa mensyukuri akan nikmat yang dikurniakan Nya,maka dengan itu akan menyebabkan kita terselamat daripada sifat tamak , hasad dengki, khianat dan yang paling bahaya cintakan kemewahan dunia sehingga terkeluar daripada sempadan syariat.  

ORANG YANG BIJAK ADALAH ORANG MENGINGATI KEMATIAN

Thursday, 11 October 2012

Ikhlaskah Amalan Mu ??


 Abu Hurairah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

   “Mula-mula manusia yang akan diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang gugur dalam peperangan. Dia didatangkan,lalu Allah memperlihatkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya semasa di dunia sehingga dia melihatnya.Allah bertanya “Apakah yang telah kamu buat ke atas nikmat-nikmat tersebut ?” Dia menjawab “Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur syahid”.

   Allah berfirman : “Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu digelar seorang yang berani dan gelaran itu telah diberikan.”Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka .”

   “Lalu seseorang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran didatangkan,lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia ditanya  “Apakah yang telah kamu buat atas nikmat-nikmat tersebut ?” Dia menjawab: “Aku belajar ilmu serta mengajarkannya dan aku membaca al Quran kerana-Mu.”

   Allah berfirman : “Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar ilmu supaya disebut sebagai orang alim dan kamu mebaca al-Quran supaya disebut sebagai qari dan gelaran tersebut telah diberikan.”Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.”

   “Kemudian orang yang Allah luaskan dan kurniakan kepadanya berbagai-bagai jenis harta seluruhnya,dia didatangkan kepada Allah lalu diperlihatkan nikmat-Nya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia melihatnya,Allah bertanya : “Apa yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat tersebut ?” 
Dia menjawab : “Aku tidak meninggalkan satu jalan Yang Engkau sukai supaya bersedekah kerana-Mu.”

   Allah berfirman : “Kamu berdusta , tetapi kamu melakukannya supaya disebut sebagai dermawan ,dan gelaran tersebut telah diberikan”. Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.”

Riwayat Muslim dan al Nasaei (Hadith Qudsi)