Sunday, 23 September 2012

Kalahkan Musuh Batin Mu



   Bukan mudah untuk bangun daripada tidur,bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi melaksnanakan solat Subuh secara berjemaah.Bayangkan,seseorang terpaksa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.
   Peperangan dalam diri itu diperjelaskan melalui hadis ini,yang bermaksud: “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur.Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: “Nikmatilah malam yang panjang ini”.Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,maka terlepaslah lilitan pertama.Apabila dia berwudhuk,lepaslah lilitan yang kedua.Kemudian apabila dia solat,lepaslah lilitan ketiga,sehingga dia menjadi bersemangat.Tetapi kalau tidak,dia akan terbawa lembap dan malas”.  (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
    Justeru,Rasulullah s.a.w menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi membezakan tahap keimanan seseorang.Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh.Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya,nescaya mereka akan mendatangi kedua duanya sekalipun dengan merangkak.Sungguh,aku ingin menyuruh melaksanakan solat,lalu solat itu ditegakkan , kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat bersama orang lain.Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu terikat,mendatangi kaum yang tidak hadir solat berjemaah,sehingga aku bakar rumah mereka.” (Riwayat al Bukahri dan Muslim)
   Rasulullah s.a.w. sangat sayang akan umatnya.Hadis tersebut menjelaskan betapa tingginya keinginan Baginda agar umatnya selamat daripada seksaan api neraka.Sekiranya umat islam dapat melihat dengan mata hati mereka ganjaran bagi mereka yang solat Subuh berjemaah,dan bencana yang bakal menimpa kepada sesiapa yang meninggalkannya,pasti mereka akan bergerak ke masjid walaupun dalam keadaan merangkak..
     Ironinya, ramai dalam kalangan umat islam pada hari ini begitu bersemangat membakar bendera Yahudi,bertempik-tempik mengutuk Israel,mengeluarkan pelbagai resolusi dan memorandum untuk menyatakan kemarahan kepada pihak Zionis,tetapi tidak berdaya mengangkat selimut menzahirkan keseriusan mereka melaksanakan solat Subuh secara berjemaah..Tindakan itu bukan sahaja kurang berkesan malah tersasar daripada prinsip asal perjuangan islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat..

No comments:

Post a Comment