Pahala
adalah suatu ganjaran untuk memberi dorongan bagi memotivasikan diri kita untuk
terus bergerak menuju kecemerlangan dunia bagi meraih kejayaan di
akhirat.Manakala dosa yang dilakukan samada kepada Allah s.w.t ataupun sesama
makhluk akan memberi impak yang negatif dan menyebabkan motivasi seseorang itu
akan terus menurun.
Lihat
analogi ringkas ini. Seorang pekerja yang sentiasa mematuhi undang-undang
syarikat ataupun majikan, akan lebih bermotivasi berbanding pekerja yang sering
melanggar undang-undang. Bagaimana? Pekerja yang taat tadi tentu lebih
disenangi oleh semua pihak, tiada keresahan di jiwa, tiada perasaan bagi
melarikan diri dan menyembunyikan kesalahan daripada sesiapa.Maka, sudah pasti
dia lebih bermotivasi dan bersemangat untuk meningkatkan prestasi dalam
pekerjaan.
Manakala
pekerja yang sering melanggar undang-undang akan sentiasa memiliki perasaan
bersalah, keresahan pastinya menyelubungi jiwa kerana bimbang sekiranya
kesalahannya diketahui, bahkan sentiasa dihantui dengan kesalahannya.Dia juga
berusaha menyembunyikan kesalahannya dari persekitaran sehingga menyebabkan
banyak urusannya dengan sesama manusia menjadi tergendala kerana bersikap seolah-olah
mengasingkan diri.Itu adalah dosa atau kesalahan yang membantutkan motivasi
selain meruntuhkan prestasi, merosakkan dorongan dan mematahkan keinginan.
Bayangkan
keadaan seorang pekerja yang sering melanggar peraturan kerja tadi apabila
bertemu dengan majikannya lalu mengakui serta menginsafi kesalahannya?
Sekiranya majikan itu memaafkannya dan memberikannya satu lagi peluang untuk
menebus kesalahan itu.Apa perasaan si pesalah? Tentu perasaan bersalah yang
sebelum ini bersarang di jiwa akan hilang serta merta.Maka timbullah dalam
dirinya rasa ketenangan yang sukar untuk digambarkan serta secara tidak
langsung menjana semula semangat motivasi bekerja yang baru bagi menyumbang
sesuatu kebaikan untuk dirinya. Itulah kehebatan dalam bertaubat dengan setiap
kesalahan.Taubat adalah pintu kepada pembakar semangat dan motivasi diri.
Ayuh
renungi satu ayat yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Ali Imran
pada ayat 135.
“ Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan
keji ataupun menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon
keampunan atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa
selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka
mengetahui.”
Taubat dan
istighfar akan mendatangkan kesan motivasi dalam kehidupan . Ia menyuburkan
semangat emosi untuk menggerakkan jasmani bagi meneruskan kehidupan yang
bermatlamat. Kesilapan dosa hasil daripada perbuatan keji yang dilakukan pada
masa silam, yang secara tidak langsung menganiaya diri sendiri adalah ranjau kehidupan
yang menjadi pembunuh untuk mendapat motivasi. Dalam surah az Zumar pada ayat
53, Allah menerangkan :
“ Katakan wahai hamba-Ku yang melampaui batas kepada
diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya, sesungguhnya Dia yang Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Taubat dan
istighfar adalah terapi yang paling mujarab bagi memulihkan motivasi diri.
Terapi ini umpama ubat penyembuh luka. Wahai orang yang berdosa, pembuat
kesalahan, kita jauh daripada Allah. Kita sedang menuju kepada semangat dan
motivasi. Ini adalah kerana taubat masih terbuka dan pintu kecemerlangan masih terbuka
luas di hadapan kita. Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya pada malam hari
bagi menerima taubat pelaku Nya pada pelaku kejahatan di siang hari, dan
membentangkan tangan-Nya pada siang hari menunggu taubat orang yang melakukan
kesalahan di malam hari. Pintu taubat sentiasa terbuka sebelum matahari terbit
dari sebelah barat. Semoga Allah menjadikan kita orang yang bertaubat dan
sentiasa bermotivasi. Renungkan kata-kata nabi ini.
Daripada
Abu Hurairah, dia berkata, “ Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, “ Demi
Allah saya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dalam sehari semalam lebih
daripada 70 kali”
(
Sahih Bukhari, no hadis : 6307)
Oleh itu, buatlah pengakuan dosa-dosa kita
kepada Allah. Sesungguhnya orang yang bertaubat dan mengakui kesalahannya lebih
layak beroleh kemaafan dan keampunan.

No comments:
Post a Comment