Alhamdulilah,
masih diberi peluang dan ruang oleh Ilahi di ruangan sunyi tetapi bernadi ini
untuk menukilkan sambungan rentetan daripada catatan ringkas kisah cinta
terhadap bumi Haramain yang sangat barakah lagi mendamaikan.
Perjalanan
daripada Kuala Lumpur menuju ke ibu negara Arab Saudi, Jeddah memakan masa
lebih kurang 8 hingga 9 jam tanpa transit untuk sampai di lapangan terbang King
Abdul Aziz. Sebelum terlupa, kami sekeluarga seramai 14 orang menggunakam perkhidmatan
umrah daripada agensi Zuhdi Travel bersama seorang mutawwif yang sempoi lagi bergaya bernama Ustaz Majedi.
Inilah permulaan mentari pagi di Arab Saudi yang mula menyinarkan diri, jika dilihat daripada pandangan atas pesawat ini, anda akan menyaksikan kota Arab ini boleh diumpamakan seperti permainan lego kerana setiap persekitaran perumahan dan bangunan disusun dengan pelbagai bentuk dalam bentuk berkotak-kotak.
Alhamdulilah!
Kami selamat mendarat dan tiba di lapangan terbang King Abdul Aziz sekitar jam
7 pagi waktu tempatan iaitu satu jam lebih awal daripada jangkaan awal pendaratan
kerana dimaklumkan oleh ketua pramugara bahawa cuaca di persekitaran ruangan
udara berada dalam situasi yang baik sepanjang menuju ke sini membolehkan
pesawat serba merah itu diterbangkan dengan lebih laju dan lancar.
Di sebalik kesenangan yang diberikan, ujian Allah
itu tetap sentiasa ada buat menguji keikhlasan dan kesabaran hambanya kerana rombongan
kami terpaksa menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan bas bagi menuju ke kota
Madinah Al Munawwarah yang dirasakan kian menyeru hati sambil meransang diri
untuk tiba disana lebih awal lagi.Ditambah lagi dengan perubahan cuaca musim
panas di Timur Tengah turut memberikan sedikit kesan pada tubuh dalam permulaan pengembaraan sufi ini namun
dek keghairahan yang dirasakan, masalah itu seolah diabaikan oleh semua ahli
rombongan.Perjalanan daripada Jeddah ke Madinah seumpama perjalanan daripada
Kelantan ke Kuala Lumpur iaitu memakan masa 7 hingga 8 jam dengan menaiki bas.
Sepanjang
perjalanan, kami sentiasa diberi peringatan oleh mutawwif agar tidak lupa untuk
sentiasa berzikir dan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w
selain daripada celoteh dan penerangan yang mencuit hati membuatkan bas kami
menjadi gamat seketika dengan hilai tawa memecah kesunyian yang secara tidak
langsung menimbulkan kemesraan antara ahli rombongan.Tiada pemandangan yang
terlalu menarik untuk disaksikan di sisi jalan melainkan unta-unta peliharaan,
perhentian rehat dan juga stesyen minyak yang sukar untuk ditafsirkan tahap keuzurannya
kerana jika dilihat sekali pandang ia kelihatan seperti tidak terurus dan
beroperasi.
Sukar
sekali untuk melelapkan mata walaupun badan yang keletihan merayu untuk
direhatkan lantaran daripada sebuah keterujaan. Terasa seolah-olah satu
kerugian besar untuk melepaskan setiap detik- detik indah perjalanan menuju ke
kota Nabi ini. Debaran di hati kian memuncak saat diumumkan oleh mutawwif
bahawa kami semakin hampir memasuki Tanah Haram Madinah yang ditanda dengan
penanda- penanda di puncak bukit, fikiran
sudah mula membayangkan bagaimana agaknya rupa bentuk masjid Nabawi yang sebenar
apabila bertentang di hadapan mata sendiri nanti, disamping doa yang tidak putus
kehadrat Ilahi agar diizin dan dipilih sebagai pengunjung kepada kota Rasul-Nya
ini.
Permulaan
memasuki kota madinah ini bas kami menyusuri sebuah kawasan yang dinamakan Bir
Ali yang mana ia merupakan tempat miqat iaitu berniat bagi mereka yang akan
keluar daripada kota Madinah menuju ke kota Makkah untuk menunaikan ibadah
umrah mahupun haji.Kemudian, perjalanan memasuki kota Madinah diteruskan lagi
dengan menyusuri sekitar jalan-jalan yang tersusun sepanjang menuju ke tempat
penginapan kami. Akhirnya, ketika azan asar hampir berkumandang di seluruh bumi
Nabawi yang permai ini, kami tiba di tempat penginapan setelah melewati Masjid
Nabawi hanya sekitar 150 meter sahaja di hadapan dan sepanjang itu kami satu rombongan
sama-sama melaungkan selawat dan nasyid yang pernah dinasyidkan penduduk
Yathrib ketika menyambut Rasulullah s.a.w di samping bertahmid memuji Ilahi menzahirkan
sebuah kesyukuran.
Juraian sebak air
mata yang mengalir dibiarkan jatuh menitis tanpa diseka, bergelinangan membasahi jubah yang
dipakai kerana perasaan terharu yang teramat sukar untuk digambarkan di saat mata ini dapat
melihat dan menatap sendiri kubah hijau dan menara-menara yang berdiri megah kepunyaan
Masjid Nabawi yang mana didalamnya terdapat Raudhah iaitu taman syurga gambaran
dunia selain bersemadinya jasad insan yang paling dikasihi Allah s.w.t dan
seluruh makhluk di alam ini iatu Rasulullah s.a.w. Ia bukan suatu perasaan yang
dipaksa namun nun jauh didasar hati ia sememangnya perasaan yang sangat menggugah
jiwa seorang lelaki hina dengan noda ini.Fikiran waras ini seolah masih belum
mampu mentafsir rasa percaya akan pemandangan yang dilalui sekilas tadi, walaupun
hati seolah-olah kian merintih dan mula mendesak tubuh untuk menggerakkan kaki
melangkah pergi menuju ke dalamnya.Namun,kami dinasihatkan oleh mutawwif berpengalaman
agar berehat seketika dahulu di dalam bilik hotel disamping membersihkan diri
sebelum memulakan langkahan pertama menuju ke ke Masjid Nabawi dan sekitarnya
agar mendapat kekuatan baru untuk beribadah didalamnya nanti.Barulah saya perasan
bahawasanya kami tidak sempat membersihkan diri hampir semalaman bermula
daripada penerbangan dari Malaysia sehinggalah tiba di kota Madinah ini.Jadi
apa yang dinasihatkan itu memang ada benarnya.
Setelah selesaikan
melakukan segala keperluan yang patut disamping kesempatan melelapkan mata seketika
sambil dihiasi dengan gambaran tidur yang mengagumkan membuatkan tubuh kembali
cergas dan bugar. Sementara itu, kaki juga seolah semakin tidak sabar untuk dilangkahkan keluar daripada hotel penginapan menuju ke masjid Nabawi.Buat permulaan, saya
menuju ke masjid Nabawi bersama dengan
ayah dan dua orang ibu saudara yang memimpin nenek menaiki wheelchair kerana
tidak mahu terpisah dan bimbang jika tidak menemui jalan untuk pulang ke hotel.Bagaimanapun
kami telah dinasihatkan untuk menyimpan kad perkhidmatan hotel agar ada
individu yang dapat membantu sekiranya tersesat nanti. Pada hari-hari seterusnya
saya hanya bersendirian di sekitar kawasan masjid Nabawi kerana lebih selesa sebegitu
tanpa sebarang gangguan malah tidak terikat dengan sesiapa dalam melakukan
aktiviti selain dapat menumpukan ibadah yang ingin dilaksanakan dengan lebih
fokus.Kami sekeluarga hanya berjumpa pada waktu makan atau di dalam bilik hotel
sahaja selepas itu dan kadang-kadang terserempak di dalam perjalanan pulang
daripada masjid.
Melintasi
dua jalan utama menuju ke masjid, saya sudah mula mampu melihat pintu gerbang
masjid yang berdiri kukuh yang mana didalamnya tersergam indah sebuah binaan
agung. Di hadapan pintu pagar masjid itu menjadi pusat perniagaan yang
kebanyakan di monopoli kaum wanita berbanding lelaki.Kebanyakan mereka
berpakaian jubah serba hitam sambil melitup muka dan menjual pakaian seperti jubah,selendang
dan sebagainya. Apa yang lebih menarik premis mereka akan ditutup setiap kali
berkumandang azan sehingga seusai solat berjemaah.
Di saat
kaki menapak buat pertama kali memasuki ruangan dataran masjid, hati ini mula
diresapi oleh suatu ketenangan yang mendamaikan. Malam pertama ketika kami tiba
itu ialah hari isnin yang mana menjadi suatu kewajipan di masjid Nabawi
mengadakan majlis iftar jamaie untuk mereka yang berpuasa sunat.Biasanya
makanan ini akan disusun mengikut setiap barisan tiang dan setiap tiang ada
tuannya dan mereka akan menderma untuk menjamu setiap orang yang duduk untuk
berbuka puasa di tiang mereka pada setiap hari isnin dan khamis. Rezeki saya
pada malam itu ialah beberapa biji rutab bersama air teh arab yang diserikan
lagi dengan roti arab yang dicicah dengan bijan yang saya sendiri tidak tahu
apa namanya tetapi sangat sedap bila ia mula dikunyah dan ditelan. Ini baru
makanan kelas ekonomi, jika anda mahukan makanan first class pastikan anda
berada di ruangan solat yang berhampiran kawasan Raudhah ketika waktu maghrib
kerana kebanyakan di sana tempat berbuka golongan elit daripada bangsa arabdan
mereka yang akan menjamu dan menyediakan makanan disana. Selesai sahaja berbuka
puasa secara bersederhana, semuanya akan bangun untuk menunaikan solat maghrib
dan itulah juga solat jemaah pertama yang saya dirikan di dalam masjid Nabawi.Sangat
mengharukan ditambah lagi dengan kelunakan suara imam yang seolah membuai.
Inilah keindahan
suasana malam di dataran masjid Nabawi yang diimarahkan oleh jutaan umat yang
hadir ke bumi Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w. Di kawasan ini
mempunyai pelbagai kemudahan seperti tandas dan tempat berwudhuk yang
menggunakan eskulator selain tempat untuk meneguk air zam zam secara percuma
tanpa pernah kering dan putus.
Perancangan
saya pada malam itu adalah pulang awal selepas isya’ ke bilik hotel untuk
menyantap makanan selain daripada merehatkan diri dengan lebih awal untuk
melaksanakan dua impian penting pada keesokan pagi iaitu dapat sujud di atas
karpet hijau Raudhah yang berhampiran dengan mimbar Rasulullah selain daripada
membuat sedikit persiapan menjelang sesi temuduga di Universiti Islam Madinah
keesokan hari.Namun, saya teringat akan pesanan mutawwif petang tadi bahawa dia
akan membawa kami serombongan untuk melawati sekitar masjid Nabawi selain
melawat makam Rasulullah untuk menyampaikan salam pada malamnya nanti membuatkan
saya segera menukar idea asal dan segera berlari tke masjid agar sempat dengan
sesi penerangannya selain tidak membuatkan ahli rombongan lain tertunggu-tunggu
kerana kelewatan.Mengelilingi masjid Nabawi daripada Babus Salam sehingga ke
Babul Baqi’ daripada luar agak memenatkan sebenarnya, namun ia suatu pengalaman
yang sangat manis untuk dikongsikan bersama.
Jam dua
pagi, ayah mengejutkan saya untuk misi memasuki Raudhah buat kali pertama. Keterujaan
dan pengharapan menghapuskan segala keletihan. Keaadan yang masih lengang di persekitaran
luar kawasan masjid Nabawi membuatkan kami berhati-hati sepanjang berjalan
menuju ke sana.Alhamdulilah! Impian kami terlaksana setelah diizinkan oleh
Allah s.w.t untuk bersolat di ruangan
taman syurga ini sepuas yang mungkin kerana belum dibanjiri oleh tetamu
Rasulullah yang lain.Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan
ibadah tanpa gangguan mahupun sekatan daripada pihak polis yang mengawasi.
Keesokan
paginya bermulalah debaran kedua iaitu untuk sesi temuduga. Persediaan akhir yang
sedikit tegendala ekoran daripada kekangan masa membuatkan diri ini hanya mampu
berdoa mengharapkan pertolongan Ilahi selepas usaha awal di tanah air sudah pun
dilaksana. Setelah berjanji dengan seorang ustaz yang kini menyambung masternya
di UIM bahawa dia akan menghantar anak buahnya menemui saya dan ayah di hotel
penginapan dan akan terus membawa kami ke universiti. Kami menunggu di lobi
hotel sekitar jam 7 manakala rombongan yang lain dibawa untuk memasuki Raudhah
pada pagi itu, walaupun belum pasti siapakah gerangan insan yang bakal membantu
kami ini, namun hati kami tetap mencorak gembira dalam tenang walaupun
terkadang dalam diam bertukar resah. Sebenarnya saya ingin meminta pertolongan sahabat-sahabat
senior dahulu yang kini menuntut di
Universiti Islam Madinah dan bilangan
mereka juga agak ramai, namun setelah mendapat tahu bahawa mereka sedang berada
di dalam minggu imtihan jadi saya mengambil keputusan itu tidak menganggu dan cuba
belajar untuk berdikari dengan usaha sendiri walapun tahu kemungkinan
berhadapan masalah nanti.Biarlah keyakinan ini disandarkan terus pada IIahi
daripada selalu untuk cuba mengharapkan bantuan yang disalurkan daripada
rakan-rakan sendiri.Sebab itu saya merahsiakan terlebih dahulu ketibaan saya di
sini daripada mereka melainkan kepada beberapa sahabat yang rapat.
Tanpa
disangka, insan yang ditunggu-tunggu itu adalah sahabat yang sudah lama dikenali iaitu senior di waktu
persekolahan menengah dahulu. Bagaikan sebuah kasih yang kembali tertaut disusuli
dengan tambatan ukhuwah yang menyimpul hati membuatkan kami senang untuk
berbicara dan berurusan.Kami kemudian di bawa menaiki kereta berjenama Hyundai
menuju ke sana. Kemudian, apabila tiba disana, kami dijemput dan diraikan oleh sahabat-sahabat
senior yang lain di bilik asrama mereka dengan cara bersahaja tetapi bermakna.Selain
itu, mereka juga memberikan tips dan sedikit nota yang berguna selain kata-kata taujihat dalam menghadapi
proses temuduga itu nanti.
Sempat merakamkan gambar kenangan di bilik menunggu bersama dua sahabat yang sangat disegani walaupun masih diracuni debar. Saya perkenalkan disebelah kanan saya ialah Syeikh Asyraf Mohd Naim yang pernah menjawat jawatan Pengerusi Masjid ketika belajar di MTAQ dahulu dan di sebelah kiri ialah Syeikh Haris Syazwan yang merupakan johan hafazan peringkat kebangsaan untuk kategori 20 juzu’ dan pernah beberapa mewakili Malaysia pada pertandingan hafazan antarabangsa selain itu juga pernah dianugerahkan pelajar cemerlang SMU oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Alhamdulilah,
segalanya berjalan dengan lancar walaupun pada permulaan saya ditegur oleh Syeikh
yang menjadi penemuduga kerana cara saya menghormatinya dengan mencium tangan
beliau.Katanya manusia tidak layak untuk tunduk kepada manusia lain sedemikian
rupa, cukuplah kepada Allah sahaja kita menundukkan wajah kita bukan pada
ciptaannya. Satu perkara membuatkan saya bersyukur ialah kemampuan untuk
memahami dengan jelas setiap soalan yang diajukan dalam bahasa arab selain
dapat menjawab dengan agak fasih walaupun dalam gementar.Terima kasih Ya Allah!
Semoga dipermudahkan segala urusan dan dipilih menjadi salah seorang daripada penuntut
di bumi yang penuh barakah dan mendamaikan ini.
Masih terlalu panjang untuk merakamkan kisah untuk dua hari lagi di bumi Nabawi ini. Saya mohon untuk meminta diri dahulu.InsyaAllah jika diberi peluang oleh Ilahi saya akan terus mencoret lagi untuk berkongsi pengalaman suka dan duka ini. Semoga ada kebaikan yang tersurat atau tersirat yang boleh diambil melalui pandangan yang berbeza daripada setiap pembaca selain menjadi pengubat dan pengukir rindu kepada saya dan sahabat-sahabat terhadap bumi Haramain.



