Monday, 12 November 2012

Promo LCI : Warkah Amsyar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

   Tangan ini mula menulis apa yang telah dirangkai oleh hati ini di dalam kalbu. Ku mulai tertanya-tanya adakah ku sudah seharusnya mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai dengan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya untuk disempurnakan.Acap kali ku mendengar ungkapan “ Kau tercipta untukku”. Ku awalnya kurang mengerti kalimah ini kerana diselubungi jahiliah. Rahmat dan hidayah Allah s.w.t yang diberikan kepada diriku, kini ku mengerti bahawa pada suatu hari nanti, ku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku buat ‘dirimu’. Ku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu. Ku menginginkan pertemuan kita yang pertama ku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Ku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggunjawab yang harus ku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Ku cuba membataskan perbicaraan ku dengan gadis lain hanya dalam lingkungan urusan penting kerana ku risau ku menceritakan rahsia diriku pada dirinya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

     Apabila diriku memakai kopiah, ku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, ku digelar syeikh. Taktala lidahku mengajak manusia ke arah makruf ku digelar daei’. Bukan itu yang ku pinta kerana  ku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Ku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perwatakanku. Baik yang indah berjubah dan berhijab atau yang ketat ber t-shirt semuanya singgah disisiku. Ku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan daripada fitnah ini. Rasulullah s.a.w pernah meninggalkan pesanan, “ Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita”. Ku khuatir amalanku bukan sepenuhnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Ku memerlukan dirimu untuk menghidari fitnah ini. Ku sangat khuatir kurangnya ikhlasku dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Ku rasa bersalah kepada dirimu sekiranya cinta yang berhak menjadi milikmu akan ku curahkan kepada wanita lain. Ku sukar mencari dirimu kerana dirimu bagaikan sebuah permata bernilai yang berkilau di antara jutaan kaca yang sekadar menyilau. Tetapi ku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya cinta itu akan Allah tanam di dalam lubuk hati kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku terlebih dahulu. Sukar untuk ku mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan kesolehan mu. Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu. “ Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya”.

    Jiwa remajaku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran dirimu amat terasa untuk berada disisi. Setiap kali ku merasakannya, ku cuba mengenang dirimu, namun ku masih belum mampu mengambarkan siapa dirimu. Di sana engkau setia menunggu ku tetapi disini ku curang padamu seandainya ku bermain dengan cinta fatamorgana yang penuh dusta yang bakal membuahkan derita. Sampaikan doa mu kepada diriku agar ku dapat menahan gelora ujian yang membadai buatku, di samping ku mengajukan sendiri doa agar diperlindungi diri. Bukan harta, rupa atau keturunan yang ku utamakan dalam memandang dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih diantara kita. Saat dimana ku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar tercipta keserasian di antara kita kerana itulah pesanan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah merekah bak delima tetapi cukuplah akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi. “ Kahwinilah wanita kerana empat perkara iaitu keturunan, harta, rupa dan agamanya. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal”.

    Jika ku dipertemukan dengan dirimu suatu hari nanti, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum tiba masanya. Akan ku jadikan syara’ itu sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu agar waktu itu syaitan hanya mampu menangis mengangkat bendera putih. Biarlah kita mengikut nenek moyang kita, Adam dan Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang bukan sahaja mendapat kerahmatan tetapi juga menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan ku agar diriku ini tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencarimu kerana ku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.







PROMO NOVEL LAKARAN CINTA ILAHI ( WARKAH AMSYAR)



Gratisan Musik

Sunday, 4 November 2012

Taubat Itu Penawar


   Pahala adalah suatu ganjaran untuk memberi dorongan bagi memotivasikan diri kita untuk terus bergerak menuju kecemerlangan dunia bagi meraih kejayaan di akhirat.Manakala dosa yang dilakukan samada kepada Allah s.w.t ataupun sesama makhluk akan memberi impak yang negatif dan menyebabkan motivasi seseorang itu akan terus menurun.

   Lihat analogi ringkas ini. Seorang pekerja yang sentiasa mematuhi undang-undang syarikat ataupun majikan, akan lebih bermotivasi berbanding pekerja yang sering melanggar undang-undang. Bagaimana? Pekerja yang taat tadi tentu lebih disenangi oleh semua pihak, tiada keresahan di jiwa, tiada perasaan bagi melarikan diri dan menyembunyikan kesalahan daripada sesiapa.Maka, sudah pasti dia lebih bermotivasi dan bersemangat untuk meningkatkan prestasi dalam pekerjaan.

   Manakala pekerja yang sering melanggar undang-undang akan sentiasa memiliki perasaan bersalah, keresahan pastinya menyelubungi jiwa kerana bimbang sekiranya kesalahannya diketahui, bahkan sentiasa dihantui dengan kesalahannya.Dia juga berusaha menyembunyikan kesalahannya dari persekitaran sehingga menyebabkan banyak urusannya dengan sesama manusia menjadi tergendala kerana bersikap seolah-olah mengasingkan diri.Itu adalah dosa atau kesalahan yang membantutkan motivasi selain meruntuhkan prestasi, merosakkan dorongan dan mematahkan keinginan.

   Bayangkan keadaan seorang pekerja yang sering melanggar peraturan kerja tadi apabila bertemu dengan majikannya lalu mengakui serta menginsafi kesalahannya? Sekiranya majikan itu memaafkannya dan memberikannya satu lagi peluang untuk menebus kesalahan itu.Apa perasaan si pesalah? Tentu perasaan bersalah yang sebelum ini bersarang di jiwa akan hilang serta merta.Maka timbullah dalam dirinya rasa ketenangan yang sukar untuk digambarkan serta secara tidak langsung menjana semula semangat motivasi bekerja yang baru bagi menyumbang sesuatu kebaikan untuk dirinya. Itulah kehebatan dalam bertaubat dengan setiap kesalahan.Taubat adalah pintu kepada pembakar semangat dan motivasi diri.

   Ayuh renungi satu ayat yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Ali Imran pada ayat 135.
“ Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji ataupun menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon keampunan atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”


   Taubat dan istighfar akan mendatangkan kesan motivasi dalam kehidupan . Ia menyuburkan semangat emosi untuk menggerakkan jasmani bagi meneruskan kehidupan yang bermatlamat. Kesilapan dosa hasil daripada perbuatan keji yang dilakukan pada masa silam, yang secara tidak langsung menganiaya diri sendiri adalah ranjau kehidupan yang menjadi pembunuh untuk mendapat motivasi. Dalam surah az Zumar pada ayat 53, Allah menerangkan :

“ Katakan wahai hamba-Ku yang melampaui batas kepada diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya, sesungguhnya Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
  
   Taubat dan istighfar adalah terapi yang paling mujarab bagi memulihkan motivasi diri. Terapi ini umpama ubat penyembuh luka. Wahai orang yang berdosa, pembuat kesalahan, kita jauh daripada Allah. Kita sedang menuju kepada semangat dan motivasi. Ini adalah kerana taubat masih terbuka dan pintu kecemerlangan masih terbuka luas di hadapan kita. Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya pada malam hari bagi menerima taubat pelaku Nya pada pelaku kejahatan di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menunggu taubat orang yang melakukan kesalahan di malam hari. Pintu taubat sentiasa terbuka sebelum matahari terbit dari sebelah barat. Semoga Allah menjadikan kita orang yang bertaubat dan sentiasa bermotivasi. Renungkan kata-kata nabi ini.

Daripada Abu Hurairah, dia berkata, “ Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, “ Demi Allah saya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dalam sehari semalam lebih daripada 70 kali”
( Sahih Bukhari, no hadis : 6307)

   Oleh itu, buatlah pengakuan dosa-dosa kita kepada Allah. Sesungguhnya orang yang bertaubat dan mengakui kesalahannya lebih layak beroleh kemaafan dan keampunan.


Sunday, 28 October 2012

Bongkar Rahsia Kalam Suci

   Kadang-kadang kita lebih suka mencari sumber rujukan lain untuk mencari motivasi tanpa kita menyedari akan hadirnya al Quran yang memotivasikan kita jika diamalkan dalam seharian. Sedarkah kita al Quran itu adalah kitab motivasi yang paling berkesan? Percayakah kita sekiranya dikatakan al Quran itu penuh dengan 1001 bahan motivasi? Tahukah kita, sebenarnya al Quran memberikan lebih suntikan aura kepada semua motivator yang ada di dunia? Kita seharusnya mempercayai bahawa manusia yang membaca al Quran akan mendapat sumber kekuatan motivasi yang menakjubkan.Itu semua adalah benar. Kebenarannya terbukti sebagaimana benarnya al Quran. Allah s.w.t menurunkan kalamNya itu untuk kekasihnya dan insan yang paling agung dalam sejarah peradaban manusia iaitu Muhammad bin Abdullah.Rasulullah s.a.w merupakan manusia seperti kita. Seluruh kehidupan baginda adalah sama.Tiada apa yang membezakan nabi dengan manusia lain.

  Lihatlah kembali apa yang difirmankan Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 110 “ Katakanlah wahai Muhammad, Sesungguhnya aku hanya manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku yang Tuhan kamu hanya Tuhan yang Satu. Oleh itu, orang yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,dia perihal mengerjakan amal yang soleh dan jangan dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” Persoalannya dari manakah Rasulullah mendapat sumber kekuatan motivasi bagi meneruskan misi serta visi baginda? Sekalipun baginda diuji dari segenap sudut perjuangan dalam kehidupannya.Jawapan bagi persoalan di atas itu hanyalah satu iaitu al Quran yang mengandungi risalah–risalah motivasi daripada ‘motivatornya’ iaitu Allah s.w.t.
   Dalam surah at Taubah ayat 111 Allah menyatakan: “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka bayaran syurga. Ini kerana disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah lantas ada diantara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Balasan syurga ini adalah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam kitab Taurat dan Injil serta al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu,dan ketahuilah, jual beli seperti itu adalah kemenangan yang besar.”
 
   Ayat itu umpama minyak yang terus memberikan harapan kepada kenderaan bergerak dan terus bergerak.Ayat itu adalah motivasi yang menyuburkan jiwa Rasulullah bagi terus menggerakkan misi nabawinya.Sebagaimana dalam catatan-catatan sirah jelas menunjukkan bahawa Rasulullah sentiasa diuji dengan ujian yang cukup hebat daripada permulaan kerasulan sehingga ke akhir hayat baginda.Namun, adakah selepas kesemua ujian ini dilalui, Rasulullah meninggalkan kesemua dakwahnya? Jawapannya pasti tidak. Motivasi yang dihasilkan oleh al Quran mampu membentuk jiwa Rasulullah menjadi jauh lebih kuat daripada besi yang keras.

    Ayuh kita renungi ayat dalam surah az Zukhruf daripada ayat 72 hingga 75, “ Dan itu adalah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang kamu lakukan terdahulu. Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan, sesungguhnya orang yang berdosa kekal di dalam neraka Jahannam, tidak diringankan azab itu untuk mereka dan mereka di dalamnya berputus asa.”

    Dengan hanya satu ayat di atas, ia sudah mampu meniupkan semangat motivasi kepada diri orang Mukmin yang benar-benar memahami dan mendalami.Tidakkah begitu? Apatah lagi membaca ribuannya ayat-Nya. Membacanya sahaja sudah mampu menghilangkan resah dijiwa apatah lagi jika menghayatinya, pastinya ia menghasilkan momentum motivasi yang begitu memuncak dan ampuh.Lantas ia mampu menggerakkan jiwa yang lumpuh ke arah keyakinan kepada janji-janji Allah dan meneruskan kehidupan dengan menongkah apa sahaja rintangan yang mendatang dalam kehidupan transit ini.

 INDAHNYA JIKA ALUNAN BACAAN ITU DISULAMI DENGAN KEFAHAMAN

Monday, 22 October 2012

Kitaran Motivasi Teragung

   Aturan waktu solat itu kelihatan seumpama kitaran proses yang sempurna bagi menyuntik motivasi tanpa henti dari awal permulaan pagi hingga mata terpejam kembali.Bermula seawal waktu subuh di mana manusia diuji jasad dalaman dan luaran untuk bangun bermunajat dan memohon kepada Allah bagi membantu perjalanan kehidupannya sepanjang hari.Inilah motivasi yang akan dibawa daripada sesudah subuh sehingga waktu zohor.

    Cuba renung-renungkan kembali bagaimana kehidupan kita pada hari kita kelewatan untuk mengerjakan solat subuh ? Adakah sama dengan hari sebelumnya yang mana kita sempat bertahajjud dan menunaikan solat sunat fajar malahan mengerjakan solat subuh dengan berjemaah? Pasti terasa suatu kelainan yang teramat dalam permulaan kehidupan selain menjadi lebih bermotivasi dan bersemangat. Bahkan kita akan merasai kehidupan hari itu lebih bermatlamat dan bermanfaat.

    Renungkan sabda nabi ini, daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w bersabda : “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur.Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: “Nikmatilah malam yang panjang ini”.Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan pertama.Apabila dia berwudhuk, maka terlepaslah lilitan yang kedua.Kemudian apabila dia solat, terlepaslah lilitan ketiga,sehingga dia menjadi bersemangat.Tetapi kalau tidak,dia akan terbawa lembap dan malas”.
 (Riwayat al Bukhari dan Muslim, no hadis 1295 )

   Apabila berhadapan dengan konflik pada tempoh itu, kita diseru untuk bertemu Allah pada waktu zuhur.Pada saat itu,kita sudah mula merasai keletihan dalam mengharungi pekerjaan seharian dan waktu itulah kita mengadu dan menyuntik kembali semangat motivasi baru untuk tempoh siang yang berikutnya antara waktu zuhur dan asar.Sesudah berhadapan dengan seribu satu halangan pada siangnya, suntikan motivasi sekali lagi diberikan dalam munajat seterusnya pada waktu maghrib.Lantas, kitaran motivasi terakhir pada hari itu ditutupi dengan solat isya’ yang disusuli lagi dengan solat sunat witir.

    Namun suntikan motivasi itu tidak berakhir di situ, akan terus diulang dan sentiasa berterusan sehingga berpisah nyawa dari jasad.Berdasarkan itu, Allah menggalakkan kita melaksanakan solat-solat sunat berdasar sunnah yang dibawa Rasulullah.Antaranya ialah solat sunat rawatib yang dituntut sebanyak 12 rakaat ditambah lagi dengan solat sunat fajar ,dhuha dan witir untuk menyempurnakan lagi motivasi seharian untuk menjadi seorang individu muslim yang lebih progresif dan produktif.

    Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isya' dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
 (Hadis riwayat Tarmizi r.a.)


‘KITA TIDAK MAMPU MENGUBAH ARAH ANGIN,TETAPI KITA MAMPU MENGUBAH ARAH SAYAP’

Tuesday, 16 October 2012

Fikirlah:Biarpun Sesaat


   Suatu hari seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Miqdad Ibnu al Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah,lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad, “ Aku mendengar Nabi Muhammad memberitahu kepada ku,sesiapa yang berfikir satu saat maka itu lebih baik daripada beribadat setahun.

   Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad, “ Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku ,sesiapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat 70 tahun”

   Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi,kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza.Lantas beliau mengadukan perkara itu kepada Rasulullah.

    Baginda mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas supaya berjumpa dengannya,baginda bertanya kepada Abu Hurairah, “Bagaimana cara engkau berfikir?” Abu Hurairah menjawab, “Aku memikirkan kejadian tujuh petala langit dan bumi agar ia mendatangkan rasa agung kepada Allah dalam diri.”

   Nabi Muhammad menjawab “Benar,engkau berfikir sesaat lebih baik daripada setahun.Baginda menjelaskan lagi, “Al-Quran turun kepadaku, rugilah kepada mereka yang membaca al-Quran tetapi tidak memikirkannya.”

   Lalu, Rasulullah bertanya pula kepada Ibnu Abbas,beliau menjawab, “Aku memikirkan berkenaan kematian dan huru haranya pada saat itu.” Lantas,Rasulullah menjawab, “Benar,berfikir begitu ,engkau dapat kelebihan sesaat berfikir lebih baik daripada beribadat 70 tahun”


   Sememangnya kita digalakkan berfikir perihal kejadian alam ini,kerana ia dapat mendatangkan rasa keagungan dan ketakjuban kepada Allah sebagaimana yang dilakukan oleh rasul-rasul terdahulu.Tetapi adakah kita pernah terfikir, mengapa berfikir mengenai mati dan penghijrahan kita ke alam barzakh menyebabkan ibadat kita diangkat.Ayuh kita menjawab persoalan ini, apabila kita berfikir mengenai mati walaupun sejenak,kita akan sentiasa mensyukuri akan nikmat yang dikurniakan Nya,maka dengan itu akan menyebabkan kita terselamat daripada sifat tamak , hasad dengki, khianat dan yang paling bahaya cintakan kemewahan dunia sehingga terkeluar daripada sempadan syariat.  

ORANG YANG BIJAK ADALAH ORANG MENGINGATI KEMATIAN

Thursday, 11 October 2012

Ikhlaskah Amalan Mu ??


 Abu Hurairah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

   “Mula-mula manusia yang akan diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang gugur dalam peperangan. Dia didatangkan,lalu Allah memperlihatkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya semasa di dunia sehingga dia melihatnya.Allah bertanya “Apakah yang telah kamu buat ke atas nikmat-nikmat tersebut ?” Dia menjawab “Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur syahid”.

   Allah berfirman : “Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu digelar seorang yang berani dan gelaran itu telah diberikan.”Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka .”

   “Lalu seseorang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran didatangkan,lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia ditanya  “Apakah yang telah kamu buat atas nikmat-nikmat tersebut ?” Dia menjawab: “Aku belajar ilmu serta mengajarkannya dan aku membaca al Quran kerana-Mu.”

   Allah berfirman : “Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar ilmu supaya disebut sebagai orang alim dan kamu mebaca al-Quran supaya disebut sebagai qari dan gelaran tersebut telah diberikan.”Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.”

   “Kemudian orang yang Allah luaskan dan kurniakan kepadanya berbagai-bagai jenis harta seluruhnya,dia didatangkan kepada Allah lalu diperlihatkan nikmat-Nya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia melihatnya,Allah bertanya : “Apa yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat tersebut ?” 
Dia menjawab : “Aku tidak meninggalkan satu jalan Yang Engkau sukai supaya bersedekah kerana-Mu.”

   Allah berfirman : “Kamu berdusta , tetapi kamu melakukannya supaya disebut sebagai dermawan ,dan gelaran tersebut telah diberikan”. Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.”

Riwayat Muslim dan al Nasaei (Hadith Qudsi)  


Wednesday, 26 September 2012

Mereka Terus Tersenyum


   Hari ini,musuh islam boleh terus tersenyum ,kerana perjalanan umat untuk meramaikan bilangan ahli solat Subuh berjemaah menyamai bilangan makmum solat Jumaat secara berjemaah masih merangkak rangkak..Bukan sahaja untuk  solat subuh berjemaah malah mengerjakan solat lima waktu secara sendirian pun masih jauh..

   Itu sekadar dilihat dari sudut mengerjakan solat,bagaiman pula jika diukur dari segi khusyuk dan aspek ‘menjaga’ solat sepertimana yang dinyatakan Allah s.w.t dalam surah al Mukminun?? Sedangkan itulah ukuran kejayaan mengikut penilaian Allah..

   Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman,iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”(Surah al Mukminun 23:1-2)

   Ternyata umat islam sudah meminggirkan sumber kekuatan mereka yang hakiki dan sejati.Solat subuh berjemaah semakin dipinggirkan dalam usaha membangunkan ummah..Apa yang lebih diutamakan ialah pembangunan material dan fizikal tanpa menitikberatkan amalan-amalan rohaniah yang boleh mengundang  kecintaan kepada Allah..

    Mengapa hakikat ini tidak diambil kira oleh umat Islam dan pemimpinnya dalam agenda memperkasakan ummah? Mengapakah panduan yang datang daripada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. ini terus dipandang enteng dan sepi?

   Padahal Imam Malik telah mengingatkan bahawa usaha pembaikan umat kali kedua tidak akan dapat dijayakan tanpa menggunakan kaedah yang telah membaiki umat yang pertama.Maksudnya ,jika Rasulullah dan para sahabat berjaya  kerana mereka benar-benar menjaga solat Subuh berjemaah,maka tidak dapat tidak kita juga wajib mengutamakannya jika inginkan kejayaan yang pernah dikecapi oleh mereka suatu masa dahulu..
SESUNGGUHNYA RAHSIA KEKUATAN UMMAH ADA PADA SOLAT SUBUH BERJEMAAH

Monday, 24 September 2012

Buka Mata..Jangan Tutup Hati


  Para cendiakawan islam yang tinggal atau bermusafir di negara-negara Barat melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana kehidupan telah bermula secara aktif sebaik sahaja awal pagi bermula..

  Dr Raghib al Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh menukilkan pemerhatiannya ketika berada di Amerika.Beliau menulis “Sewaktu di Amerika,sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat Subuh,sekitar jam enam pagi,di jalan-jalan utama telah dipenuhi kereta..Mereka itu orang Kristian,Yahudi dan Ateis.Jumlahnya tidak sedikit. Mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia,bersamaan waktu solat Subuh.Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi.Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada awal pagi?”
  Dr Raghib al Sirjani menulis lagi: “ Mereka bukan islam bangun pagi-pagi supaya anjing mereka boleh dibawa berjalan menghirup udara segar. Bayangkan kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun pagi,sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hamba –Nya untuk bangun pagi bagi menyatakan cintanya?”

  Realitinya,umat islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar r.a.: “Hakikatnya ,kita tentera islam dimenangkan Allah kerana dosa –dosa yang dilakukan oleh tentera kafir,tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka,dimanakah kekuatan kita?”…

   Tetapi yang lebih parah jika kita yang menjadi penyumbang kepada keruntuhan itu melalui apa yang kita tidak sedari..Jadi berhati-hati,kerana persoalan ini pasti dibangkitkan oleh ilahi ketika dibawa mengadapNya nanti..Apakah jawapan yang diberi oleh anggota lain yang menjadi saksi ketika mulut yang sudah biasa menipu itu terkunci rapi.. 

25 SEPTEMBER:ADA KISAHNYA



25 SEPTEMBER setiap tahun mengingatkan ku kepada dua peristiwa bersejarah yang kini menjadi titik mula kepada diriku ini.....pada tahun 1994 diriku dilahirkan ke dunia pada jam 5.37 minit petang di Hospital Jengka,Pahang..anak sulung yg dinanti oleh ayah dan ibuku selama ini..telah pun selamat dilahirkan...Alhamdulilah...kini umurku pd tahun 2012 sudah menginjak kepada angka 18...angka-angka terakhir dalam urutan kiraan belasan...semoga amalan dapat dipertingkatkan seiring menjadi anak soleh kepada kedua ibubapa yang tercinta...terima kasih ku apreasasikan untuk Mu Ya Allah..kerana meberi hambaMu ini peluang menjadi pelakon untuk sebuah filem agung Mu ini...kanvas kehidupanku pastinya akan terus dicoret..cuma diriku belum pasti..mampukah terus diwarnai dengan lukisan pelangi atau sekadar sekadar kabus hitam yang menutupi langit,...



Setelah 3 tahun berusaha menghafal dan mempelajari  kalam suci-Mu Ya ilahi...tepat jam 10.01 pagi pada tahun 2010 di rumah murabbi ku..Ust Fikri..aku menadah tangan memohon doa memuji-Mu Ya Rabbi di atas kurniaan terbesar ini...walaupun sukar untuk diungkap dengan kata-kata,,tetapi jauh di sudut hati...aku sangat bersyukur dan gembira...setelah mengharungi waktu jerih dan perit selama ini....walaupun rasanya tidak layak meletakkan diriku ini dengan gelaran 'Al Hafiz'..tetapi mungkin ini hadiah yang terbaik yang mampu ku hadiahkan  kepada ayah dan bondaku.. disaat aku cuba mencari kejayaan dunia yang lain..mungkin sukar untuk ku menghadiahkan mu sebuah rumah banglo hatta seutas rantai emas sekalipun.. namun aku cuba mendapatkan hadiah yang lebih hakiki buatmu sebagaiman suatu hadis Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
terima kasih buat ibuku Mislia binti Mohamed Yunus dan ayahku Mazzlan bin Mohamed diatas sokongan serta dorongan yang tidak kenal erti putus buat kejayaan anak mu ini...terima kasih juga ku lakarkan buat guru-guruku yang sudi memimpin anak murid mu ini yang pernah berada kegelapan tanpa ilmu suatu masa dahulu..

SEMAKIN BERTAMBAH USIA MENITI,SEMAKIN DEKAT JARAK UNTUK DIPERTEMUKAN DENGAN ILAHI....



Gratisan Musik

Sunday, 23 September 2012

Subuh Berjemaah: Ini Nilainya




   Imam Malik dalam kitab al-Muwatta’ meriwayatkan pada suatu hari Umar Al Khattab r.a telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk solat berjemaah.Pada pagi itu juga,Umar Al Khattab r.a pergi ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa’….”Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat subuh?”…..Lalu al-Shifa’ menjawab : “Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya.”…Umar kemudian berkata : “,Sungguh solat berjemaah dalam solat subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam.”
   Begitulah prihatinnya Saidina Umar tentang solat subuh berjemaah.Malah ketika beliau parah ditikam oleh Abu Lu’lu’ah dan keadaannya yang sangat kritikal sekali, namun solat subuhnya tidak sekali-kali diabaikan.Ketika dikejutkan oleh al Miswar bin Makhramah untuk solat Subuh,beliau berkata “Ya, tidak akan mendapat keuntungan dalam islam bagi mereka yang meninggalkan solat”.Padahal diriwayatkan pada waktu itu darah segar masih mengalir keluar daripada lukanya.
   Bukan sahaja beliau, para sahabat Rasulullah s.a.w dan umumnya para salafussoleh juga sangat mengambil berat tentang solat tentang solat berjemaah.Sudah menjadi tradisi dalam kehidupan para muqarrabin ini, menjadikan solat Subuh berjemaah  sebagai penanda aras bagi  keteguhan agama seseorang individu,Abdullah bin Umar berkata: “Apabila ada seseorang yang tidak turun solat Subuh berjemaah ,ini membuatkan kami berprasangka buruk padanya. Boleh jadi ada sesuatu yang menimpa diri dan agamanya.”
   Waktu subuh mempunyai keistimewaannya tersendiri khususnya yang dikaitkan dengan pelaksanaan solat Subuh.Justeru,waktu itulah yang dipilih oleh para sahabat untuk melaksanakan agenda-agenda penting dalam kehidupan sama ada untuk diri mereka secara peribadi atau untuk ummah.
   Salehuddin al Ayyubi mendisiplinkan tenteranya agar istiqamah untuk solat berjemaah di masjid dan itu menjadi ukuran dalam menyusun barisan tenteranya di medan perang.
   Begitu juga Sultan Muhammad Al Fatih pembebas kota Konstantinopel.Baginda begitu prihatin tentang solat berjemaah dirinya dan juga barisan tentera.Inilah rahsia kemenangan islam,yakni mendapat bantuan Allah apabila pejuang islam mengutamakan apa yang Allah utamakan.
   Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud “Jika kamu menolong agama Allah,maka Dia pasti akan menolong –mu dan meneguhkan kedudukanmu.”( surah Muhammad 47:7)                   

Kalahkan Musuh Batin Mu



   Bukan mudah untuk bangun daripada tidur,bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi melaksnanakan solat Subuh secara berjemaah.Bayangkan,seseorang terpaksa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.
   Peperangan dalam diri itu diperjelaskan melalui hadis ini,yang bermaksud: “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur.Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: “Nikmatilah malam yang panjang ini”.Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,maka terlepaslah lilitan pertama.Apabila dia berwudhuk,lepaslah lilitan yang kedua.Kemudian apabila dia solat,lepaslah lilitan ketiga,sehingga dia menjadi bersemangat.Tetapi kalau tidak,dia akan terbawa lembap dan malas”.  (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
    Justeru,Rasulullah s.a.w menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi membezakan tahap keimanan seseorang.Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh.Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya,nescaya mereka akan mendatangi kedua duanya sekalipun dengan merangkak.Sungguh,aku ingin menyuruh melaksanakan solat,lalu solat itu ditegakkan , kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat bersama orang lain.Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu terikat,mendatangi kaum yang tidak hadir solat berjemaah,sehingga aku bakar rumah mereka.” (Riwayat al Bukahri dan Muslim)
   Rasulullah s.a.w. sangat sayang akan umatnya.Hadis tersebut menjelaskan betapa tingginya keinginan Baginda agar umatnya selamat daripada seksaan api neraka.Sekiranya umat islam dapat melihat dengan mata hati mereka ganjaran bagi mereka yang solat Subuh berjemaah,dan bencana yang bakal menimpa kepada sesiapa yang meninggalkannya,pasti mereka akan bergerak ke masjid walaupun dalam keadaan merangkak..
     Ironinya, ramai dalam kalangan umat islam pada hari ini begitu bersemangat membakar bendera Yahudi,bertempik-tempik mengutuk Israel,mengeluarkan pelbagai resolusi dan memorandum untuk menyatakan kemarahan kepada pihak Zionis,tetapi tidak berdaya mengangkat selimut menzahirkan keseriusan mereka melaksanakan solat Subuh secara berjemaah..Tindakan itu bukan sahaja kurang berkesan malah tersasar daripada prinsip asal perjuangan islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat..