Sunday, 28 October 2012

Bongkar Rahsia Kalam Suci

   Kadang-kadang kita lebih suka mencari sumber rujukan lain untuk mencari motivasi tanpa kita menyedari akan hadirnya al Quran yang memotivasikan kita jika diamalkan dalam seharian. Sedarkah kita al Quran itu adalah kitab motivasi yang paling berkesan? Percayakah kita sekiranya dikatakan al Quran itu penuh dengan 1001 bahan motivasi? Tahukah kita, sebenarnya al Quran memberikan lebih suntikan aura kepada semua motivator yang ada di dunia? Kita seharusnya mempercayai bahawa manusia yang membaca al Quran akan mendapat sumber kekuatan motivasi yang menakjubkan.Itu semua adalah benar. Kebenarannya terbukti sebagaimana benarnya al Quran. Allah s.w.t menurunkan kalamNya itu untuk kekasihnya dan insan yang paling agung dalam sejarah peradaban manusia iaitu Muhammad bin Abdullah.Rasulullah s.a.w merupakan manusia seperti kita. Seluruh kehidupan baginda adalah sama.Tiada apa yang membezakan nabi dengan manusia lain.

  Lihatlah kembali apa yang difirmankan Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 110 “ Katakanlah wahai Muhammad, Sesungguhnya aku hanya manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku yang Tuhan kamu hanya Tuhan yang Satu. Oleh itu, orang yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,dia perihal mengerjakan amal yang soleh dan jangan dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” Persoalannya dari manakah Rasulullah mendapat sumber kekuatan motivasi bagi meneruskan misi serta visi baginda? Sekalipun baginda diuji dari segenap sudut perjuangan dalam kehidupannya.Jawapan bagi persoalan di atas itu hanyalah satu iaitu al Quran yang mengandungi risalah–risalah motivasi daripada ‘motivatornya’ iaitu Allah s.w.t.
   Dalam surah at Taubah ayat 111 Allah menyatakan: “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka bayaran syurga. Ini kerana disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah lantas ada diantara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Balasan syurga ini adalah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam kitab Taurat dan Injil serta al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu,dan ketahuilah, jual beli seperti itu adalah kemenangan yang besar.”
 
   Ayat itu umpama minyak yang terus memberikan harapan kepada kenderaan bergerak dan terus bergerak.Ayat itu adalah motivasi yang menyuburkan jiwa Rasulullah bagi terus menggerakkan misi nabawinya.Sebagaimana dalam catatan-catatan sirah jelas menunjukkan bahawa Rasulullah sentiasa diuji dengan ujian yang cukup hebat daripada permulaan kerasulan sehingga ke akhir hayat baginda.Namun, adakah selepas kesemua ujian ini dilalui, Rasulullah meninggalkan kesemua dakwahnya? Jawapannya pasti tidak. Motivasi yang dihasilkan oleh al Quran mampu membentuk jiwa Rasulullah menjadi jauh lebih kuat daripada besi yang keras.

    Ayuh kita renungi ayat dalam surah az Zukhruf daripada ayat 72 hingga 75, “ Dan itu adalah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang kamu lakukan terdahulu. Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan, sesungguhnya orang yang berdosa kekal di dalam neraka Jahannam, tidak diringankan azab itu untuk mereka dan mereka di dalamnya berputus asa.”

    Dengan hanya satu ayat di atas, ia sudah mampu meniupkan semangat motivasi kepada diri orang Mukmin yang benar-benar memahami dan mendalami.Tidakkah begitu? Apatah lagi membaca ribuannya ayat-Nya. Membacanya sahaja sudah mampu menghilangkan resah dijiwa apatah lagi jika menghayatinya, pastinya ia menghasilkan momentum motivasi yang begitu memuncak dan ampuh.Lantas ia mampu menggerakkan jiwa yang lumpuh ke arah keyakinan kepada janji-janji Allah dan meneruskan kehidupan dengan menongkah apa sahaja rintangan yang mendatang dalam kehidupan transit ini.

 INDAHNYA JIKA ALUNAN BACAAN ITU DISULAMI DENGAN KEFAHAMAN

1 comment: