Monday, 12 November 2012

Promo LCI : Warkah Amsyar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

   Tangan ini mula menulis apa yang telah dirangkai oleh hati ini di dalam kalbu. Ku mulai tertanya-tanya adakah ku sudah seharusnya mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai dengan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya untuk disempurnakan.Acap kali ku mendengar ungkapan “ Kau tercipta untukku”. Ku awalnya kurang mengerti kalimah ini kerana diselubungi jahiliah. Rahmat dan hidayah Allah s.w.t yang diberikan kepada diriku, kini ku mengerti bahawa pada suatu hari nanti, ku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku buat ‘dirimu’. Ku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu. Ku menginginkan pertemuan kita yang pertama ku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Ku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggunjawab yang harus ku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Ku cuba membataskan perbicaraan ku dengan gadis lain hanya dalam lingkungan urusan penting kerana ku risau ku menceritakan rahsia diriku pada dirinya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

     Apabila diriku memakai kopiah, ku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, ku digelar syeikh. Taktala lidahku mengajak manusia ke arah makruf ku digelar daei’. Bukan itu yang ku pinta kerana  ku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Ku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perwatakanku. Baik yang indah berjubah dan berhijab atau yang ketat ber t-shirt semuanya singgah disisiku. Ku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan daripada fitnah ini. Rasulullah s.a.w pernah meninggalkan pesanan, “ Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita”. Ku khuatir amalanku bukan sepenuhnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Ku memerlukan dirimu untuk menghidari fitnah ini. Ku sangat khuatir kurangnya ikhlasku dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Ku rasa bersalah kepada dirimu sekiranya cinta yang berhak menjadi milikmu akan ku curahkan kepada wanita lain. Ku sukar mencari dirimu kerana dirimu bagaikan sebuah permata bernilai yang berkilau di antara jutaan kaca yang sekadar menyilau. Tetapi ku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya cinta itu akan Allah tanam di dalam lubuk hati kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku terlebih dahulu. Sukar untuk ku mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan kesolehan mu. Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu. “ Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya”.

    Jiwa remajaku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran dirimu amat terasa untuk berada disisi. Setiap kali ku merasakannya, ku cuba mengenang dirimu, namun ku masih belum mampu mengambarkan siapa dirimu. Di sana engkau setia menunggu ku tetapi disini ku curang padamu seandainya ku bermain dengan cinta fatamorgana yang penuh dusta yang bakal membuahkan derita. Sampaikan doa mu kepada diriku agar ku dapat menahan gelora ujian yang membadai buatku, di samping ku mengajukan sendiri doa agar diperlindungi diri. Bukan harta, rupa atau keturunan yang ku utamakan dalam memandang dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih diantara kita. Saat dimana ku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar tercipta keserasian di antara kita kerana itulah pesanan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah merekah bak delima tetapi cukuplah akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi. “ Kahwinilah wanita kerana empat perkara iaitu keturunan, harta, rupa dan agamanya. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal”.

    Jika ku dipertemukan dengan dirimu suatu hari nanti, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum tiba masanya. Akan ku jadikan syara’ itu sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu agar waktu itu syaitan hanya mampu menangis mengangkat bendera putih. Biarlah kita mengikut nenek moyang kita, Adam dan Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang bukan sahaja mendapat kerahmatan tetapi juga menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan ku agar diriku ini tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencarimu kerana ku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.







PROMO NOVEL LAKARAN CINTA ILAHI ( WARKAH AMSYAR)



Gratisan Musik

No comments:

Post a Comment